Newcastle United Minta Penyokong Berhenti Berpakaian Ala ‘Pak Arab’ Ke Stadium

Newcastle Arab

Dalam aksi pertama Newcastle United di St. James Park sejak kelab tersebut diambil alih oleh konsortium Dana Pelaburan Awam (PIF) milik Arab Saudi, segelintir penyokong meraikan era baharu pasukan mereka dengan berpakaian gaya arab.

Gambar-gambar penyokong memakai serban dan egal seperti yang biasa dilihat di negara-negara timur tengah itu bertebaran di media sosial, malah ada juga yang lengkap berjubah dan membawa pelbagai prop seperti unta dan sebagainya.

Keghairahan mereka menyambut era baharu The Magpies begitu jelas apabila semua 52,000 tiket perlawanan habis terjual.

Ia mungkin satu penghargaan oleh para penyokong buat pemilik baharu mereka, iaitu Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman yang diketahui sentiasa berimej sedemikian.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab beberapa hari lalu, penyokong telah diminta agar tidak terus berpakaian ala ‘Pak Arab’ itu apabila hadir ke stadium pada hari perlawanan.

Ini kerana ia dianggap tidak sesuai dengan budaya di negara Eropah itu dan menimbulkan rasa tidak selesa kepada sebahagian penyokong lain.

“Tidak ada sesiapa pun di antara kumpulan pemilik baharu yang tersinggung dengan pakaian penyokong yang memilih untuk meraikan dengan cara ini. Ia adalah tanda yang diakui positif dan kami menyambut baik niat anda semua,” ujar pengurusan kelab dalam kenyataan medianya.

“Bagaimanapun, terdapat kemungkinan bahawa berpakaian seperti ini tidak sesuai mengikut budaya di sini dan ia berisiko untuk memberi rasa tidak selesa kepada orang lain.

“Semua penyokong seperti biasa digalakkan untuk memakai apa sahaja yang menjadi kebiasaan mengikut budaya dan agama sendiri, ia mencerminkan komuniti yang kaya dengan kepelbagaian budaya yang mana pihak kelab amat bangga mendapat sokongan darinya.”

Kenyataan tersebut mungkin dikeluarkan Newcastle selepas mendapat aduan dan respon oleh beberapa pihak terutamanya di media sosial yang beranggapan pakaian dengan gaya Arab tersebut ‘mengerikan’.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply