Nazrin Nawi Bakal Perkuatkan Melaka United Musim Depan

Melaka United bakal menjadi destinasi seterusnya bagi bekas pemain skuad kebangsaan, Nazrin Nawi apabila membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak dengan pasukan Perak untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2019.

Sumber daripada Stadium Astro mendedahkan, pemain yang berusia 30 tahun itu membuat keputusan untuk berkelana dan dijangka menyertai Melaka United (MU), musim depan.

Nazrin atau lebih mesra dengan panggilan Yin mengakui akan menyertai sebuah pasukan dari selatan tanah air.

“Sudah tentulah bukan Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana saya pernah datang dari sana dua tahun lalu,” jelasnya.

Perak
Nazrin Nawi jarang berada dalam kesebelasan utama Perak.

Memilih untuk berhijrah kerana kurang mendapat  tempat dalam pasukan Perak

Nazrin turut mengakui kekurangan peluang beraksi merupakan faktor utama yang menyebabkannya memilih untuk berhijrah ke pasukan lain.

“Jika Perak hendak sambung, saya sendiri tidak mahu kerana sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

“Saya bukan pilihan utama dan kurang mendapat peluang beraksi.

“Jadi, lebih baik saya berpindah dan mencari pasukan di mana saya akan mendapat kesempatan bermain agar tidak ‘berkarat’,” katanya.

Mengenai perpindahannya, pemain itu berkata isterinya yang baru berpindah ke Ipoh tidak akan mengikutnya memandangkan Ipoh berada di pertengahan jalan untuk mereka pulang ke kampung di Kelantan nanti.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram