Highlight & Laporan: Bintang Denmark Kembali Untuk Nations League, Skuad Giggs Pulang Hampa

Dua gol oleh bintang Tottenham Hotspur, Christian Eriksen cukup untuk menghantar Wales pulang dengan kekalahan dalam pertandingan Nations League pada awal pagi tadi.

Selepas minggu-minggu penuh kontroversi buat Denmark akhirnya pemain bintang mereka yang melakukan protes kembali menyertai pasukan kebangsaan mereka, setelah menyaksikan pasukan kedua yang dibarisi majoriti pemain futsal dan divisyen bawahan tewas 3-0 kepada Slovakia dalam perlawanan persahabatan.

(Photo by Lars Ronbog / FrontZoneSport via Getty Images)

Eriksen meletakkan Denmark di hadapan pada minit ke-32 perlawanan, sebelum menambah satu lagi jaringan melalui sepakan penalti pada minit ke-62, selepas Ethan Ampadu dipersalahkan kerana bola terkena tangan pemain tersebut.

Keputusan tersebut juga mungkin adalah semakan realiti untuk Ryan Giggs dan Wales yang dilihat beraksi dengan sangat cemerlang ketika menewaskan Republik Ireland 4-1 dalam perlawanan pembukaan Nations League pada Khamis lalu.

Denmark yang mara sehingga ke suku ahir Piala Dunia sebelum disingkirkan oleh Croatia melalui penentuan sepakan penalti dilihat sebagai pasukan yang lebih dominan sepanjang perlawanan, terutama selepas gol pembukaan Eriksen.

(Photo by Craig Mercer/MB Media/Getty Images)

Wales memberi terlalu banyak ruang untuk bintang Spurs itu, dan Eriksen menghukum lawan mereka itu dengan percubaan rendah yang terlebih dahulu terkena palang sebelum menerjah masuk.

Gandingan Thomas Delaney dan Lasse Schone di bahagian tengah menyukarkan Wales untuk mara, dan turut berjaya menyekat kemaraan Gareth Bale.

Tuan rumah, Denmark mempunyai peluang terbuka menambah jaringang melalui Pione Sisto namun berjaya diselamatkan oleh Wayne Hennessey.

Dalam perlawanan sebegini, gol kedua akan menjadi gol yang sangat penting. Walaupun cuba bermain dengan lebih baik pada permulaan babak kedua, Wales terus ketinggalan hasil sepakan penalti yang agak kontroversi diberikan kepada Denmark.

(Photo by Lars Ronbog / FrontZoneSport via Getty Images)

Hantaran lintang Viktor Fischer terkena tangan pemain muda Chelsea, Ampadu. Walaupun ia kelihatan seperti tidak disengajakan, pengadil perlawanan tetap tegas memberikan sepakan penalti kepada Denmark.

Eriksen tampil untuk sepakan penalti tersebut, dan menyudahkannya untuk gol ke-9 dari 12 perlawanan terakhir beliau bersama Denmark.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram