Nasir Basharudin: Kehadiran Nik Akif, Asnan Janjikan Persaingan Sengit

Nasir Basharudin

Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Nasir Basharudin mengakui persaingan semakin sengit bagi merebut posisi utama dengan kehadiran dua pemain baharu, Nik Akif Syahiran dan Asnan Ahmad bagi mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Nasir antara pemain senior yang masih kekal bersama TFC buat musim kedua pada tahun ini selepas menabur bakti bersama Perak selama 9 tahun sejak 2010 dan menyifatkan musim ini akan lebih mencabar untuknya mengisi tempat dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan.

Jelasnya, Nik Akif yang sebelum ini beraksi bersama Kelantan dan Asnan dari UKM FC masing-masing merupakan pemain yang mempunyai kelebihan tersendiri untuk membantu pasukan bersesuaian dengan taktikal oleh pengendali, Nafuzi Zain sekali gus akan menghadirkan persaingan hebat untuk mereka mengisi posisi tengah pada musim ini.

Namun begitu, pemain berusia 30 tahun ini mengharapkan siapa pun yang akan diberi peluang harus memberikan yang terbaik demi pasukan selain akan tetap bekerja keras bagi memperbaiki prestasinya.

“Kalau nak ikutkan musim lepas, saya boleh katakan dalam 60 hingga 70 peratus saya berpeluang untuk berada dalam kesebelasan utama, dan disebabkan perlawanan yang tidak banyak, memang sebenarnya belum rasa puas lagi.

“Tahun ini, sudah tentu persaingan akan lebih tinggi sebab kita tahu Akif dan Asnan merupakan pemain yang berpotensi tinggi untuk membantu pasukan, dan saya tidak boleh beraksi sambil lewa kerana bukan mudah untuk mendapat peluang beraksi dalam setiap perlawanan.

“Cuma apa yang positif, sudah tentulah kehadiran mereka akan dapat membantu pasukan sebab dua-dua mempamerkan cara bermain yang berbeza dan semestinya jurulatih (Nafuzi Zain) akan mempunyai banyak pilihan untuk beliau sesuaikan dengan taktikalnya,” katanya.

Dalam pada itu, Nasir mengharapkan musim 2021 akan menjadi yang lebih baik untuknya dan pasukan dalam mengharungi saingan Liga Super dan juga Piala AFC yang menyaksikan TFC layak beraksi buat kali pertama.

Asnan Ahmad

Semestinya ia bukan tugas yang mudah untuk semua pasukan memandangkan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan ketika ini dan harap mereka dapat melakukan persediaan dengan lebih rapi bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC musim ini.

“Apa yang saya mahukan adalah persiapan yang terbaik untuk semua pasukan dan untuk TFC sendiri apatah lagi kami juga perlu bersedia untuk saingan Piala AFC.

“Apa-apa pun, saya sedar tempoh PKP yang dilakukan ini adalah untuk keselamatan semua pihak, tetapi sama-samalah kita berdoa agar ia beransur pulih dan kita semua akan harungi musim 2021 dengan lebih sempurna”, tambah Nasir Basharudin lagi.

Kredit image: Terengganu Football Club

Baca artikel lain dari kami mengenai TFC:

Asnan Ahmad Tak Lupa Jasa UKM FC, Tekad Bantu TFC Raih Kejayaan

TFC Masih Jadi Keutamaan Nasir Basharudin

Kesempatan Beraksi Di Pentas Lebih Tinggi Gamit Faisal Halim Sertai TFC

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply