Nasihat Paul Robinson Buat Leeds United Sejurus Kembali Ke Premier League

Kerjasama Semuanya BOLA

Paul Robinson Leeds United 2004

Sebaik sahaja disahkan kembali ke saingan Premier League sejak 16 tahun lalu, Leeds United kini perlu memikirkan langkah bagaimana untuk mereka kekal di sana.

Bekas penjaga gol, Paul Robinson menegaskan yang The Whites perlu berbelanja untuk kekal bersaing di sana tetapi dengan kadar yang berpatutan. Mereka tidak boleh selesa dengan pemain yang telah membawa mereka ke Premier League ketika ini.

‘Tengoklah Aston Villa’

“Mereka perlu mengukuhkan pasukan, itu adalah maksud sebenarnya. Kini, mereka perlu kekal di Premier League,” ujar bekas pemain yang merupakan produk Leeds United yang telah berhijrah ke Tottenham selepas tersingkir dari Premier League.

Bercakap kepada Sky Sport, Paul Robinson berharap yang mereka tidak akan terbawa-bawa dengan nafsu untuk memiliki pemain-pemain ternama dan tidak berbelanja secara berlebihan di jendela perpindahan nanti. “Tengok kepada Aston Villa,” ujarnya.

“Mereka menghabiskan wang mereka dengan sangat banyak untuk kekal bersaing di Premier League, tetapi kini nasib mereka bagai telur di hujung tanduk ketika ini,” jelas Robinson lagi mengenai bagaimana kesan gagal berbelanja dengan baik.

“Anda perlu kukuhkan struktur pasukan dengan cara yang bijak. Anda mestilah ada bajet pasukan dan berbelanja dengan betul dan juga bijak,” tegasnya lagi.

‘Norwich pun’

Selain itu, Robinson juga turut berkata yang mengekalkan keseluruhan skuad yang membawa mereka ke Premier League untuk bersaing musim hadapan mungkin akan memberi nasib yang sama dan memberikan contoh yang dilalui Norwich City.

“Lihat apa yang dilalui Norwich. Bukanlah menidakkan kemampuan pemain mereka, tetapi anda perlukan skuad yang membawa anda ke Premier League dan anda juga perlu memperkukuh dan memperkuatkan pasukan untuk kekal di sana,” tambahnya.

“Mereka [Leeds United] perlu berbelanja dengan lebih baik dan bersedia untuk Premier League. Skuad Championship yang membantu anda meraih promosi tidak semestinya mampu untuk mengekalkan anda di Premier League,” jelas Robinson lagi.

Norwich City dan Aston Villa selepas 36 perlawanan liga berada di dasar liga dengan Norwich sudah sah tersingkir ke saingan Championship musim hadapan, sementara Aston Villa masih bergelut untuk kekal bersama Watford dan Bournemouth.

Pencapaian luar biasa Bielsa

Paul Robinson turut berkata yang kehadiran pengendali, Marcelo Bielsa pastinya akan membuatkan Leeds United kelihat berbeza di jendela perpindahan kali ini kerana kredibilitinya sebagai pengurus yang hebat dan juga sangat berpengaruh.

Beliau turut memuji kehebatan pengendali itu untuk membawa kembali The Whites ke saingan tertinggi Liga Inggeris. Dilantik sejak 2018, Bielsa mengejutkan banyak pihak apabila memilih untuk mengendalikan pasukan di saingan Championship itu.

Pengendali yang digelar bapa taktikal moden itu dikenali dengan pendekatan drastik dan tegas telah membantu mengubah nasib pasukan dan menurutnya, “Ia satu pencapaian yang hebat atas apa yang Bielsa ada pada dua tahun setengah lalu.”

“Leeds United, berada di tangan Bielsa, akan menjadi ‘haiwan’ yang berbeza di jendela perpindahan. Dia mampu menarik pemain-pemain bintang kerana dia merupakan pengendali yang hebat,” ujar Robinson mengenai Bielsa lagi.

Penutup

Jika dilihat, ada kebenaran dengan apa yang disampaikan oleh bekas pemain yang telah bermain sebanyak 110 perlawanan bersama Leeds United itu sejak musim 1997/98 sehingga 2003/04. Jadikan Aston Villa dan Norwich sebagai teladan.

Selamat kembali ke saingan Premier League buat Leeds United dan penyokongnya. Ia pastinya musim yang akan sentiasa diingati dan harapnya ia bukanlah persinggahan sementara buat kelab yang pernah menjuarai First Division pada 1991/92 itu.

KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES

Baca lagi artikel mengenai Paul Robinson dan Leeds United:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply