Naruphon Putsorn Lengkapkan Import Melaka United Musim 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Naruphon Wild Putsorn BBCU Thai League

Laman Facebook Melaka United semalam telah memuat naik sekeping gambar dan meninggalkan persoalan mengenai seorang lagi pemain import yang bakal diperkenalkan kepada para penyokong.

Pemain tersebut bakal diturunkan dalam aksi persahabatan menentang Terengganu FC II pada malam nanti dan menjadi pemain import terakhir yang akan melengkap pasukan Melaka United musim ini.

Sebentar tadi, selepas permintaan para penyokong yang tidak sabar untuk mengetahui identiti pemain tersebut, Melaka United akhirnya telah mengumumkan Naruphon Wild Putsorn sah menyertai pasukan.

Pemain berusia 31 tahun itu pada musim lalu telah beraksi bersama Nakhon Ratchasima FC di Thai League 1, kelab yang pernah disertai penyerang Perak, Shahrel Fikri secara pinjaman pada musim 2018.

Begitupun, pemain yang dikenali dengan panggilan Nazza ini dilihat kurang membuat penampilan bersama pasukan tersebut dengan hanya tujuh penampilan sepanjang musim lalu di Thai League 1.

Pada 2018, ketika bersama Suphanburi FC yang juga beraksi di Thai League 1, Naruphon Wild Putsorn telah beraksi dalam 24 perlawanan dan membantu kelab tersebut meraih kedudukan ke-10 liga.

Pemain berketinggian 1.78 meter ini boleh beraksi di dua posisi iaitu pertahanan tengah dan pemain tengah bertahan, malah sepanjang kariernya di Thailand, beliau banyak beraksi di posisi tengah.

Boleh dikatakan hanya memulakan karier profesionalnya bersama Bangkok United pada 2013, pemain ini merupakan hasil produk pembangunan kelab terkemuka Wales, The New Saints (TNS).

Kariernya di Thailand bermula sangat baik, membantu dua buah kelab, Bangkok United dan kemudian BBCU FC meraih promosi ke Thai League 1, malah menjadi kapten BBCU FC ketika meraih promosi.

Dengan statistik yang baik bersama BBCU FC, gergasi Liga Thailand, Buriram United mendapatnya pada musim 2017 namun, segalanya tidak memihak kepadanya apabila mula jarang membuat penampilan.

Diharapkan penyertaannya di Liga Malaysia bersama Melaka United akan kembali menghidupkan kariernya yang boleh dikategorikan bermula sangat baik bersama dua buah kelab di liga Thailand.

Dengan penyertaan Naruphon Wild Putsorn, Melaka United telah melengkapkan lima pemain import selepas mendapatkan Romel Morales, Uche Agba dan Sony Norde selain mengekalkan Jang Suk-won.

KREDIT FOTO: FOOTBALL CHANNEL ASIA