Nafuzi Zain Puji Karekter Pemain, Tegur Beri Lawan Gol Mudah

Iklan

Babacar Diallo Ilham Amirullah Terengganu FC Selangor Liga Super 2020

Biarpun terikat 3-3 menentang Selangor dan seorang pemainnya dilayangkan kad merah dalam aksi minggu ketiga CIMB Liga Super 2020, malam tadi, pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain tetap mumuji karekter para pemainnya untuk bangkit.

Terengganu bangkit tiga kali untuk akhirnya kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan tersebut. Pada Sabtu lalu, Sang Penyu turut dipaksa bangkit selepas ketinggalan 1-3 untuk menang 4-3 ke atas Kedah di Stadium Darul Aman.

Dua minggu yang sukar, dua perlawanan melibatkan banyak jaringan gol daripada kedua-dua pasukan yang bertemu. Tumpuan pastinya kepada barisan benteng yang rapuh dalam tiga aksi permulaan liga – bolos sembilan gol dalam tiga aksi.

Namun, menurutnya, kesilapan para pemainnya memberikan gol mudah kepada Selangor yang menyebabkan Sang Penyu sentiasa perlu mengejar gol semula.

“Daripada segi permainan saya berpuas hati. Kita mendominasi perlawanan dari awal hingga akhir, cuma kesilapan terbesar kita adalah menghadiahkan gol mudah untuk Selangor,” ujar Nafuzi Zain dalam sidang media selepas perlawanan.

Tiga kali Selangor mendahului permainan menerusi jaringan penyerang berbahaya, Ifedayo Olusegun, Khyril Muhymeen dan kemudian Brendan Gan, namun setiap kali bolos, mereka akan bangkit dengan jaringan penyamaan oleh barisan depan.

“Ketiga-tiga gol [Selangor] adalah daripada set-piece. Saya memuji barisan pertahanan kerana kita bermain lebih baik berbanding ketika di Kedah walaupun bolos tiga gol, tetapi kita beri gol mudah kepada lawan menerusi set-pieces.

“Tetapi saya memuji karekter, komitmen dan kemahuan yang ditunjukkan pemain walaupun kita bermain dengan 10 pemain,” tambahnya lagi sambil menyatakan Selangor bukanlah satu lawan yang mudah buatnya dan juga para pemain.

“Tidak bermakna kita menang di Kedah, kita boleh ‘gigit’, boleh ‘makan’ Selangor. Bola sepak bukannya begitu,” tegasnya lagi selain turut menyatakan kesilapan penjaga golnya yang tampil kali pertama dalam skuad utama itu terlalu mudah.

Ilham Amirullah yang merupakan tonggak utama musim lalu, telah tersisih dalam dua aksi sebelum ini dengan Nafuzi Zain memberikan peluang buat penjaga gol berusia 19 tahun, Rahadi Azli peluang bermain dalam kesebelasan utama pasukan.

“Bagi saya, itu adalah kesilapan mudah bagi seorang penjaga gol berpengalaman dan sepatutnya beliau tidak boleh membuat kesilapan sebegitu. Ianya tidak sepatutnya berlaku,” ulasnya mengenai prestasi Ilham Amirullah yang telah melepaskan tiga gol.

Gol-gol Terengganu telah dijaringkan oleh pemain sayap, Rahmat Makasuf, maestro mereka, Sanjar Shaakhmedov dan gol minit akhir oleh kapten, Lee Tuck.

KREDIT FEATURED IMAGE: TERENGGANU FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram