MVP Liga Liberia, Christopher Jackson ‘Terbang’ Ke Pahang Mencuba Nasib

Iklan

Christopher-Jackson-Liberia

Menurut laporan laman Twitter, The Liberian Influence, Pemain Paling Bernilai di Liberian First Division League 2019, Christopher Jackson dikhabarkan dalam perjalanan untuk mencuba nasib di Pahang.

“Berita baik buat Christopher Jackson!! Menurut laporan kelabnya, LISCR FC, penjaring 25 gol dalam 27 perlawanan itu akan meninggalkan Liberia pada hari ini [10 Februari] untuk menjalani pemilihan bersama pasukan di Liga Super Malaysia, Pahang FA,” memetik kenyataan di laman Twitter tersebut.

“Tahun lalu, pemain muda berbakat ini telah berjaya membina nama buat dirinya dan kami percaya beliau akan berjaya untuk memikat pasukan di Malaysia itu nanti,” menurut kenyataan itu lagi.

Laman Facebook kelab LISCR FC juga dilihat telah mengucapkan selamat maju jaya buat pemain tersebut menerusi posting terkini semalam dan ini sudah tentu mengesahkan berita kehadiran pemain tersebut.

Sememangnya pemain berusia 23 tahun ini boleh diibaratkan antara permata baharu bola sepak Liberia dan telah meledak dua gol di pentas antarabangsa dalam empat penampilan bersama Liberia.

Pada musim 2018, Christopher Jackson telah berhijrah ke Eropah untuk menyertai FC Shakhtyor Soligorsk yang bersaing di Belarusian Premier League, namun ia adalah satu kegagalan besar buat dirinya.

Sekembalinya daripada kelab tersebut, penjaring terbanyak Liberian First Division 2019 ini pulang ke LISCR FC dan mencari semula keyakinan untuk mempamerkan prestasi terbaiknya bersama pasukan.

Hasil bantuan jurulatihnya, beliau telah dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) selain turut berkongsi anugerah Kasut Emas bersama Dukuly sebagai penjaring terbanyak liga tersebut.

Mungkinkah pemain ini hasil cadangan daripada pemain kelahiran Liberia, yang pernah bersama Tok Gajah, Forkey Doe, yang dilihat tampil bermain bersama mereka dalam aksi persahabatan baru-baru ini?

Pahang masih dalam pemburuan penyerang dan pemain tengah import bagi melengkapkan pasukan musim depan selepas mengekalkan Herold Goulon dan membawa masuk Adam Reed dan Ivan Carlos.

Walaubagaimanapun, kelibat Dickson Nwakaeme dalam sesi latihan pada petang semalam akhirnya telah menjawab segala persoalan mengenai masa depannya bersama Pahang pada musim 2020 dan adakah Christopher Jackson akan hadir untuk melengkapkan rangkaian tiga penyerang Pahang?

KREDIT FOTO: T. Kla Wesley Jr.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram