Muhaimin Mohamad Ambil Peluang Pelajari Ilmu Perniagaan

Kerjasama Semuanya BOLA

Muhaimin Mohamad

Penjaga gol FELDA United FC, Muhaimin Mohamad tidak ketinggalan menjalankan perniagaan makanan mee kari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila membantu ibunya, Mahani Abd Manaf di Anak Bukit,Kedah.

Bukan sahaja mahu mencari pendapatan sampingan tetapi Muhaimin turut berhasrat mempelajari selok belok perniagaan bagi mengisi masa yang terluang sepanjang Liga Malaysia ditangguhkan ekoran penularan wabak COVID-19.

Justeru, dia tidak segan silu membantu ibu melakukan servis penghantaran makanan kepada pelanggan-pelanggannya malah turut mendapat sokongan ramai warga bola sepak termasuk bekas-bekas pemain.

Antara yang menjadi pelanggan setia Muhaimin adalah pemenang FIFA Puskas 2016, Faiz Subri, bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Al Hafiz Hamzah dan bekas pemain Kedah, Fauzi Shaari.

“Perniagaan ini sudah lama ibu saya jalankan cuma mungkin kali ini saya baharu berkesempatan untuk membantu tambahan sepanjang tempoh PKP, tiada sebarang aktiviti dapat saya buat.

” Niat saya memang mahu belajar untuk berniaga dan banyak pengalaman yang saya dapat raih sepanjang membantu ibu yang melakukan perniagaan ini bersama.

” Permintaan daripada pelanggan cukup tinggi sepanjang PKP ini terutama mee kari selain roti jala, kuih talam dan kuih seri muka.

Muhaimin bersama Faiz Subri.

” Kekuatan mee kari kami adalah adanya tambahan istimewa iaitu sambal kerang yang menjadi faktor penarik kepada pelanggan selain udang,” katanya.

Muhaimin juga merupakan anak kepada penolong jurulatih Kuala Lumpur, Mohamad Ramlee yang juga merupakan bekas pemain Kedah pada era 80-an dan 90-an.

Sebelum ini, Muhaimin yang merupakan produk bola sepak Kedah pernah beraksi selaku penjaga gol utama PJ City selama dua musim sebelum berhijrah ke FELDA United.

Bagi mendapatkan pengalaman lebih banyak, Muhaimin sudah melakukan persediaan mahu menjalankan perniagaan ayam golek bermula pada hari kedua bulan Ramadan ini.

Dia mendapat idea itu selepas berbincang dengan kawan dan berharap bakal mendapat sambutan daripada pelanggan.

” Kedai ayam golek ini saya namakan ‘Papapchaw Ayam Golek’ dan akan diusahakan saya sepenuhnya.

” Harap percubaan pertama saya ini akan membuahkan hasil serta mampu menjana keuntungan selepas banyak belajar daripada ibu selama ini, ” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram