Mufti Wilayah Pesan Penyokong Jaga Adab Terhadap Pemain Dan Penyokong Lawan

Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada hari ini menerusi tulisannya dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah memberi pesanan dan nasihat kepada pemain dan penyokong Harimau Malaya menjelang perlawanan menentang Thailand pada malam ini dan Indonesia pada 19 November akan datang.

Dalam tulisan tersebut, Dr. Zulkifli menyatakan seluruh rakyat Malaysia akan mendoakan semoga skuad Harimau Malaya dapat mempamerkan permainan terbaik dan sepenuh hati.

Beliau turut meminta para pemain agar mencontohi semangat legenda bola sepak tanah air, iaitu Allahyarham Mokhtar Dahari yang sentiasa bersemangat memberikan aksi terbaik bagi menjulang nama Malaysia.

“Apa jua yang berlaku, anda membawa nama Malaysia. Maka, usah biarkan titisan peluh anda mengalir dengan sia-sia.

“Para pemain juga harus berjiwa besar dan tidak pantas merendah diri dengan lawan yang mungkin mempunyai reputasi yang lebih baik daripada kita.

“Contohilah sifat para tentera Islam dahulu, walaupun dipandang enteng oleh dunia saat itu, mereka berperang dengan penuh bersemangat hingga berjaya mengalahkan tentera Rom dan Parsi yang mempunyai reputasi yang hebat ketika itu.” tambahnya lagi.

Selain itu, Dr. Zulkifli turut menasihati pemain ke-12 atau lebih dikenali sebagai ‘Ekor Harimau Malaya’ agar dapat menjaga adab dan mempamerkan akhlak yang baik kepada para pemain dan penyokong pasukan pelawat.

“Sokonglah sejiwa murni, elakkanlah provokasi, biarlah kita dicontohi dan disegani.

“Semoga dengan asbab akhlak yang baik kita nanti, kemenangan akan berpihak buat Harimau Malaya. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi contoh yang terbaik yang akhirnya mengharumkan nama Agama dan Negara di mata dunia.”

Isu keganasan dan sikap buruk dalam kelangan penyokong bola sepak di dalam stadium dilihat semakin meruncing sejak kebelakangan ini. Di Eropah sendiri telah berlaku isu ejekan perkauman dalam beberapa perlawanan liga dan antarabangsa.

Dengan nasihat yang telah disampaikan oleh Tuan Mufti ini, diharapkan para penyokong dapat mempamerkan sikap yang positif sebelum, semasa dan selepas perlawanan termasuk menjaga kebersihan di dalam dan sekitar stadium.

“Ayuh, Harimau Malaya! Berikan yang terbaik dan semoga berjaya. Anda tetap dan sentiasa menjadi kebanggaan kami rakyat Malaysia.” ujar Dr. Zulkifli di akhir tulisannya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN