Muangthong United Sambar Baihakki Khaizan Pada Saat Akhir

Bekas pertahanan JDT, Baihakki Khaizan yang sepatutnya menyertai Kuala Lumpur membuat pusingan U pada saat akhir apabila menerima tawaran daripada kelab Liga Thailand, Muangthong United.

Pemain yang berusia 33 tahun itu pada mulanya dijadual tiba di Kuala Lumpur untuk menandatangani kontrak sebelum mengubah haluannya ke Bangkok untuk mementerai perjanjian dengan Muangthong yang dijadual bertemu JDT dalam saingan playoff Liga Juara-Juara, 23 Januari ini.

“Baihakki memberitahu kami hari ini dia tidak akan menyertai KL selepas menerima tawaran saat akhir untuk bermain bersama Muangthong,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa kepada Berita Harian.

“Tarikan untuk bermain di Liga Juara-Juara mungkin terlalu bagus untuk ditolak.

“Tetapi keputusannya meletakkan kami dalam situasi yang sukar kerana tidak banyak pilihan yang ada dalam kelompok pemain ASEAN di bahagian pertahanan tengah.”

Minggu lepas, pertahanan berpengalaman Singapura itu dilaporkan oleh The Straits Times dalam proses perbincangan bersama kelab yang berpengkalan di Arab Saudi, Jeddah Club.

Baihakki telah menghadiri sesi pemilihan bersama kelab tersebut selepas ejennya, Ashikin Hashim dan rakan ejen di Arab Saudi, menetapkan sesi tersebut ketika Baihakki sedang menjalani ibadah umrah bersama keluarganya.

Jeddah Club bersaing di divisyen 2, Liga Arab Saudi, dan ketika ini berada di kedudukan ke-14 daripada 16 pasukan. Kelab tersebut dikhabarkan telah menawarkan kontrak 4 bulan kepadanya.

Ejen di Arab Saudi, Faisal Bineissa, yang menguruskan urusan perbincangan kontrak Baihakki dengan Jeddah Club memaklumkan bahawa kelab tersebut sangat tertarik dengan aksi yang dipamerkan Baihakki.

Lebih separuh daripada karier Baihakki dihabiskan di luar Singapura apabila pernah beraksi bersama Persija Jakarta, Persib Bandung, Medan Chiefs dan juga terakhir bersama JDT.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram