MSN Janji Bayar Elaun Jurulatih Sambilan NFDP Dalam Masa Seminggu

Iklan

Jurulatih NFDP

Sebelum ini SemuanyaBOLA telah mengeluarkan laporan mengenai keluhan seorang Jurulatih Separuh Masa (JSM) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang terpaksa menunggu sehingga empat bulan untuk menerima tunggakan elaun bulanan.

Menurut JSM berkenaan, elaun yang telah dijanjikan akan masuk pada 31 Mac dengan jumlah terkumpul sebanyak RM1,500 telah ditangguhkan lagi sehingga penghujung April.

Sehubungan itu, Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai badan induk yang menguruskan program berkenaan telah menghubungi SemuanyaBOLA bagi memberi penjelasan berhubung kelewatan tersebut dan memberi jaminan piihaknya akan menyelesaikannya dalam masa terdekat.

“Berhubung kepada perkara sebagaimana yang di bangkitkan, pihak NFDP dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil tanggungjawab ekoran kelewatan pembayaran elaun jurulatih separuh masa atau sambilan pusat-pusat latihan NFDP bagi tempoh Januari-Mac 2020.

“Kelewatan tersebut ekoran dari peralihan tahun di samping pengemaskinian dokumen lantikan bagi tahun 2020. Di samping itu, berlaku perubahan struktur pengurusan program yang pada ketika ini ditempatkan di bawah Bahagian Pembangunan, MSN sedangkan sebelum ini di bawah pengawasan Bahagian Atlet, MSN.”

MSN turut menjelaskan, ancaman pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan ketika ini turut menyumbangkan kepada kelewatan tersebut.

“Pihak NFDP telah pun memaklumkan kelewatan ini kepada kesemua Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) utk disampaikan terus ke Ketua Jurulatih Pusat (KJP) Dan Jurulatih Sambilan (JSM).

“Justeru itu, pihak NFDP dan MSN khususnya memberi komitmen akan menyelesaikan pembayaran elaun jurulatih separuh masa atau sambilan ini dalam tempoh masa tujuh hari dari tarikh hari ini. Pihak MSN mengucapkan terima kasih di atas makluman yang di berikan.”

Adalah diharapkan agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik kerana JSM yang terlibat dengan program ini juga mempunyai komitmen dan tanggungan terutamanya dalam mendepani tempoh sukar ketika ini.

Kredit Foto: FAM

Baca juga artikel kami yang lain mengenai MSN dan NFDP:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram