MSL 2020: Kedah Tewaskan Sabah, Kembali Ke Kedudukan Kedua Liga

Fayadh Zulkifli Kedah Sabah Liga Super 2020

Kedah meraih kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan CIMB Liga Super 2020 apabila menewaskan Sabah 3-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kemenangan itu membantu mereka untuk melonjak semula kedudukan dalam liga apabila memintas Perak di kedudukan kedua dengan 16 mata selepas lapan aksi. Gol Kedah dijaringkan oleh Kpah Sherman, Kipre Tchetche dan Fayadh Zulkifli.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin membuat sedikit perubahan di benteng dengan merehatkan Norfiqrie Talib dan memberikan ruang buat Shakir Hamzah beraksi di posisi bek kiri dan tempatnya diambil alih oleh Renan Alves yang kembali beraksi.

Setelah tiada dalam dua aksi, Renan Alves memperlihatkan seolah-oleh beliau sangat dahagakan aksi dengan kerap kali dilihat berada di kawasan defensive third lawan termasuk percubaan pertama Kedah olehnya di minit ke-2, namun tersasar.

Dari segi membina asakan, Sabah dilihat kerap kali berjaya mengatur serangan yang lebih baik tetapi benteng Kedah kental untuk bertahan. Pengganti Ifwat Akmal yang mengalami kecederaan, Shahril Sa’ari gagal diuji sehingga hampir 30 minit aksi.

Antara pemain yang berjaya mencuri tumpuan buat Sabah dalam menjana serangan adalah Maxius Musa dan Dennis Buschening yang kerap kali menggugat benteng pertahanan Kedah. Dan akhirnya mereka berjaya untuk menghasilkan jaringan.

Dennis Buschening yang mendapat bola daripada kesilapan Irfan Zakaria di depan gawang telah memanfaatkannya bagi menewaskan Shahril Sa’ari dengan rembatan jarak dekat untuk gol penyamaan di minit ke-28 – gol sulungnya musim ini.

Dua minit sebelum itu, Kedah terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi tandukkan penyerang, Kpah Sherman yang gagal dikawal lawan apabila menerima hantaran lintang Kipre Tchetche – gol kelima buat Kpah Sherman untuk musim ini.

Kedah terus bergelut hingga ke babak kedua. Mereka gagal untuk membina asakan kemas ke kubu lawan dengan asakan hanya berjaya dicipta menerusi hantaran jarak jauh melewati middle third yang dikawal sepenuhnya oleh skuad Tambadau.

Tiga kali Helang Merah tampil menguji kubu Sabah, namun Kpah Sherman gagal memanfaatkan peluang yang dimilikinya pada minit ke-57 dan ke-58, sementara tandukan Amin Nazari berjaya ditepis dan kemudian dikeluarkan oleh benteng.

Akhirnya minit ke-71, Kipre Tchetche berjaya meledak jaringan pendahuluan tuan rumah menewaskan Rozaimie Rohim untuk kali kedua. Ia bermula dengan larian dan hantaran pemain sayap yang baru sahaja dimasukkan, Fayadh Zulkifli.

Sekali lagi Fayadh Zulkifli mencuri tumpuan apabila menghasilkan gol ketiga pada minit ke-75 selepas menewaskan dua pemain pelawat yang gagal mengawalnya. Percubaan kaki kiri dari sudut sukar itu berjaya memperdaya penjaga gol.

Walaupun Kedah menampilkan aksi yang kurang kemas, namun sentuhan klinikal di depan gawang lawan membezakan antara mereka dan Sabah pada perlawanan malam ini, selain menghadiahkan Tambadau kekalahan ke-4 mereka musim ini.

KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN