MSL 2020: Kedah Ranapkan Impian Perak Di Ipoh, Layak Ke Piala AFC 2021

Kerjasama Semuanya BOLA

Kedah

Slot ke Piala AFC 2021 menjadi milik Kedah selepas skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu berjaya menundukkan Perak 3-2 pada aksi terakhir CIMB Liga Super Malaysia 2020 di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi yang turut mengintai peluang bagi merebut gelaran penjaring terbanyak berpeluang untuk meletakkan Perak di hadapan seawal minit ketujuh tetapi sepakan percumanya dari jarak 35 meter dinafikan penjaga gol, Muhammad Azri Ghani.

Kedah yang sesekali memberikan ancaman ke kubu Perak berjaya mengejutkan tuan rumah pada minit ke-28 apabila peledak berbisa, Kpah Sherman menggunakan kelebihan dimiliki untuk membuka tirai jaringan.

Berpunca daripada hantaran jauh dilakukan pemain pertahanan, Sherman melakukan larian deras sehingga melepasi kawalan Idris Ahmad dan kemudiannya menewaskan Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy di gawang Perak.

Kegembiraan skuad Lang Merah itu berlanjutan berselang tiga minit kemudian setelah Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam bijak menyempurnakan lorongan cantik daripada Baddrol Bakhtiar dalam kawasan penalti bagi melebarkan kedudukan.

Tersentak dengan dua jaringan, Perak berusaha untuk kembali merapatkan jurang gol dan ia hampir membuahkan hasil menerusi Firdaus Saiyadi. Rembatan voli pemain luar kawasan penalti diledakkan pemain kelahiran Ipoh itu berjaya ditepis keluar Muhammad Azri pada minit ke-34.

Jaringan yang diharapkan skuad bimbingan Mehmed Durakovic itu akhirnya menjelma pada minit ke-42 apabila Leandro Dos Santos menyudahkan sepakan penalti setelah Firdaus Saiyadi dikasari Rizal Ghazali dalam kawasan penalti.

Terdapat situasi yang sedikit kontroversi apabila sepakan penalti diambil Shahrel Fikri ditepis Azri namun penjaga gol muda itu dikatakan terlebih dahulu keluar sebelum sepakan daripada Shahrel.

Keadaan itu menyebabkan sepakan perlu diambil sekali lagi dan Leandro tidak berdepan masalah walaupun Azri berjaya mengagak arah sepakannya.

Ketika aksi babak pertama semakin menghampiri penghujung, kem tuan rumah sekali lagi melonjak kegembiraan apabila Leandro berjaya menyamakan kedudukan di masa kecederaan susulan tandukan hasil sepakan percuma Rafiuddin Roddin menewaskan Muhammad Azri.

Jaringan kemenangan Kedah hadir pada minit ke-63 berpunca daripada tandukan pemain pertahanan import, Renan Da Silva Alves susulan sepakan sudut Baddrol sekali gus menewaskan Hafizul Hakim.

Kedudukan 3-2 itu kekal hingga tamat permainan bagi membolehkan kem Kedah meraikan kemaraan layak ke pentas Asia tersebut.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram