MSL 2020: Jaringan Tunggal Shahrel Fikri Ceriakan Kembali Skuad Yob

Iklan

Perak

Perak bangkit daripada kekecewaan minggu lalu apabila berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 pada perlawanan ketujuh CIMB Liga Super Malaysia 2020 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Sedar hanya kemenangan dapat menyelamatkan skuad Yob daripada terus terhumban ke dasar liga, Perak mempamerkan corak permainan lebih tersusun sebaik sahaja aksi dimulakan pengadil perlawanan, Hamdan Awang.

Skuad bimbingan Mehmed Durakovic itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit keempat.

Jaringan tersebut berpunca daripada tandukan lambung dilakukan Shahrel Fikri dalam kawasan penalti susulan sepakan percuma Rafiuddin Roddin yang gagal dinafikan penjaga gol, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri.

Gol pembukaan itu terus menyemarakkan api perjuangan barisan pemain Perak untuk menambah jaringan dan usaha mereka hampir membuahkan hasil pada minit ke-10.

Hantaran lintang rendah daripada Idris Ahmad dari sebelah kiri pintu gol UiTM FC terus memberikan peluang buat Shahrel Fikri untuk melakukan tolakan ke arah pintu gol lawan.

Azfar Arif kali ini lebih bersedia untuk menepis percubaan itu lalu memberikan peluang buat pertahanan untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

UiTM FC yang dibimbing Frank Berhardt cuba untuk melakukan gerakan ke kawasan pintu gol Perak tetapi jentera pertahanan diketuai Shahrul Mohd Saad tenang mengawal keadaan.

Memasuki babak kedua, UiTM FC pula dilihat lebih menguasai permainan serta turut menjelmakan beberapa peluang berbahaya ke kubu Perak yang dikawal Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Antara peluang terbaik yang dimiliki ialah pada minit ke-53 apabila Ousmane Fane menerima hantaran baik daripada Muhamad Rafie Mat Yaacob, tetapi rembatannya melewati palang gol.

Rembatan cantik daripada Mohd Asraff Hayqal Zainal menuju pintu gol Perak berselang lima minit kemudian pula sekadar terkena pemain tengah, Muhammad Firdaus Saiyadi yang berada dalam kawasan penalti.

Perak juga memiliki peluang terbaik menerusi pemain muda, Farid Khazali selepas beliau menerima lorongan cantik dari Guilherme De Paula, namun sungkitan dilakukannya sedikit melewati palang gol.

Keputusan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan ketiga buat Perak sekaligus mengubati kedukaan di Stadium Sultan Ibrahim tempoh hari.

Ini bermakna Perak berjaya memanjat ke tangga kedua liga dengan mengumpul 11 mata apabila Melaka United dan Terengganu keciciran mata pada malam ini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram