MSL 2020: Ferris Danial Leburkan Rekod Tanpa Kalah Perak

Iklan

Ferris Danial

Jaringan tunggal Muhammad Ferris Danial Mat Nasir sudah cukup untuk membantu Melaka meleburkan rekod tanpa kalah Perak dalam saingan CIMB Liga Super 2020 apabila mencatatkan kemenangan 1-0 di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.

Beraksi di gelanggang lawan dilihat langsung tidak mengganggu rentak Melaka yang mempamerkan corak permainan lebih kemas berbanding skuad bimbingan Mehmed Durakovic itu.

Uche Agba terlebih dahulu menguji gawang Perak yang dikawal Mohammad Nasrullah Abdul Aziz seawal minit kesembilan hasil serangan balas pantas dimulakan Sony Norde tetapi rembatannya dari jarak jauh tersasar.

Perak yang kelihatan bergelut untuk menjelmakan aksi terbaik mereka masih mampu untuk melakukan percubaan menerusi Leandro Dos Santos. Rembatannya dalam kawasan penalti bagaimanapun mudah ditangkap penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat.

Melaka yang dibimbing Zainal Abidin Hassan terus menggandakan asakan dengan mencipta beberapa gerakan yang menyaksikan peluang keemasan mereka terhasil pada lewat aksi separuh masa pertama.

Peluang itu hadir apabila percubaan dari jauh diledakkan Khairul Anwar Shahrudin tidak mampu menewaskan Nasrullah walaupun rembatannya sedikit mengelirukan penjaga gol tersebut.

Memasuki babak kedua, Perak cuba untuk memperkemaskan aksi dengan dua percubaan terbaik menerusi rembatan Shahrel Fikri Md Fauzi dan Firdaus Saiyadi tetapi Khairul Fahmi tidak bermasalah untuk menafikan peluang tersebut.

Melaka akhirnya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-51 selepas Ferris Danial yang melepasi perangkap ofsaid menerima umpanan cantik dari Uche Agba sekaligus tidak mensia-siakan peluang itu untuk membolosi gawang Perak.

Sony Norde hampir menambah jaringan pasukan pelawat berselang beberapa minit kemudian tetapi rembatannya dari luar kawasan penalti sedikit melewati palang gol.

Usaha keras Perak untuk sekurang-kurangnya mengikat kedudukan terutamanya pada lewat permainan tidak kesampaian apabila gerakan-gerakan cuba direncanakan gagal membuahkan hasil yang diharapkan.

Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan ketiga buat Melaka untuk melonjak ke tangga kelima dengan enam mata manakala Perak masih kekal di kedudukan kedua dengan lapan mata.

Kredit featured image: Melaka United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram