MSL 2019: Red Giants Bangkit Ikat 10 Pemain Tok Gajah Di Kuantan

Wisel permulaan ditiupkan dan sepak mula dimulakan oleh Ze Love untuk pasukan Pahang.

Juara Piala FA musim, Pahang terlebih dahulu memperolehi peluang melalui sepakan percuma dari luar kotak penalti selepas Saddil Ramdani dijatuhkan namun tidak berhasil seawal minit ke-2 perlawanan. Norshahrul Idlan Talaha turut mensia-siakan peluang terbaik untuk pasukan tuan rumah berada di hadapan setelah tandukan dari jarak dekat pemain itu sekadar menuju tepat ke arah penjaga gol pada minit ke-10 perlawanan.

Selangor memiliki satu permintaan untuk mendapatkan penalti pada minit ke-16 perlawanan setelah Rufino Segovia dijatuhkan. Namun permintaan tersebut tidak diendahkan pengadil. Pahang pula terpaksa mengeluarkan Muslim Ahmad pada minit ke-24 perlawanan untuk digantikan dengan Afif Amiruddin akibat kecederaan.

Pasukan tuan rumah akhirnya berjaya memecah kebuntuan setelah Wan Zaharulnizam berjaya menewaskan Khairulazhan dari luar kotak penalti untuk Pahang mendahului 1-0 pada minit ke-34 perlawanan. Bola tersebut bagaimanapun terkena sedikit Halim Saari sebelum bergolek menuju belakang gawang.

Selangor cuba melakukan tindak balas melalui larian Endrick, namun percubaan pemain tersebut tidak cukup untuk menguji Helmi Eliza di hadapan gawang.

Rembatan deras Rufino pada minit ke-43 pula sekadar menghasilkan sepakan sudut yang gagal memberi sebarang pulangan. Babak pertama perlawanan berakhir dengan pasukan tuan rumah, Pahang mendahului Selangor 1-0.

Babak kedua bermula menyaksikan Herold Goulon dilayangkan kad kuning kerana mengasari Syahmi Safari di luar kotak penalti Pahang.

Selangor akhirnya berjaya menemui jaringan penyamaan yang dicari-cari apabila rembatan Rufino Segovia berjaya menewaskan Helmi Eliza di hadapan gawang. Jaringan berpunca daripada umpanan cantik oleh Syazwan Zainon.


Selangor sekali lagi mengancam melalui Rufino selang dua minit kemudian, namun gerakan dari serangan balas pantas itu gagal membuahkan hasil.

Pahang bermain dengan 10 pemain setelah pemain pertahanan Herald Goulon dilayangkan kad merah pada minit ke-72 perlawanan. Bekas pemain Blackburn Rovers itu dipersalahkan kerana mengasari Endrick di luar kotak penalti Pahang.

Selangor terus mengasak, kali ini dengan gandingan Rufino dan Sean Selvaraj yang baru dimasukkan. Namun percubaan pemain itu berjaya diselamatkan oleh Helmi pada minit ke-75 perlawanan.

Sumareh turut memiliki peluang untuk menghukum benteng Selangor dalam perlawanan ini, namun percubaan pemain tersebut hasil hantaran lintang Matthew Davies melewati palang pada minit ke-78 perlawanan.

Tidak banyak boleh diperkatakan selepas itu dengan kedua-dua pasukan gagal untuk menemui gol kemenangan. Tambahan masa empat minit berlalu, Pahang dan Selangor berkongsi mata selepas perlawanan tamat 1-1.

Kesebelasan utama:

Pahang FA: Helmi Eliza, Matthew Davies, Herold Goulon, Wan Zaharulnizam, Norshahrul Idlan (Dickson Nwakaeme, 73′), Ze Love, Faisal Rosli, Saddil Ramdani (Faisal Halim 63′), Safuwan Baharuddin, Muslim Ahmad (Afif Amiruddin 24;), Sumareh

Selangor FA: Khairulazhan, Sarkunan (Selvaraj, 69′), Rufino Segovia, Latiff Suhaimi, Endrick Santos, Faiz Nasir (Ashmawi 90′), Nurridzuan Hassan, Halim Saari, Syahmi Safari, Syazwan Zainon (Amri Yahyah 83′), Michal Nguyen

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN