Quantcast

LIGA MALAYSIA

MSL 2019: JDT Terus Unggul Di Puncak Liga Super

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rekod tanpa kalah di laman sendiri selepas menang selesa 2-0 ke atas pasukan Kedah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan yang juga merupakan juara Piala Sumbangsih 2019, kekal mendahului carta Liga Super dengan 39 mata selepas mengharungi 15 perlawanan.

Skuad kendalian Benjamin Mora ini bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke 33 untuk menjaringkan gol pertama melalui rembatan cantik daripada Leandro Sebastian Velasquez yang mudah menewaskan Ifwat Akmal.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kedah cuba bangkit mencari gol penyamaan tetapi jentera tengah mereka yang dikawal oleh Fazrul Daniel dan David Rowley dilihat gagal berfungsi dengan baik. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan tuan rumah terus mengandakan asakan dan memberi tekanan kepada benteng pertahanan lawan. Beberapa peluang keemasan masih tidak berjaya diterjemahkan dalam bentuk jaringan oleh Gonzalo Canbrera dan Diogo Luis Santo.

Pada minit ke 70, Kedah terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas Rizal Ghazali dilayangkan kad kuning kedua lalu diperintahkan keluar padang kerana mengasari Diogo.

FOTO: JST

Harimau Selatan terpaksa menunggu hingga penghujung perlawanan untuk mendapatkan gol kedua mereka melalui Safawi Rasid.

Safawi bijak meletakkan dirinya di hadapan gol untuk menyudahkan bola hasil tampanan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Situasi itu terus melemahkan semangat pemain Kedah yang sudah tidak bermaya lagi untuk melakukan kebangkitan dan mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong. Skuad Helang Merah kini kekal di tangga ketiga liga super serta berkongsi 22 mata dengan Melaka United dan Selangor.

Kemenangan JDT malam tadi juga bermakna mereka semakin hampir menjuarai Liga Super buat kali ke 6 musim ini. Liga Malaysia kini berehat selama hampir 3 minggu untuk memberi laluan kepada persiapan skuad Harimau Malaya dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.