Kuisan Diogo, Jaringan Safawi Teratas 5 Gol Tercantik Minggu 4 MSL 2019

Minggu ke-4 Liga Super Malaysia (MSL) telah pun berlangsung. Dua perlawanan diadakan pada Jumaat, tiga lagi berlangsung pada Sabtu, dan pertemuan diantara Pahang menentang Selangor di Kuantan melengkapkan enam perlawanan sepanjang hujung minggu yang lalu.

11 gol telah dihasilkan sepanjang hujung minggu lalu daripada enam venue perlawanan. Tidak terkecuali, beberapa jaringan cantik turut dihasilkan, dan lima daripada jaringan tersebut kami senaraikan sebagai gol tercantik minggu ini.

Pemilihan kami adalah gol yang bersih dan bukan ‘fluke’. Contohnya terbias di kaki pemain lain ataupun kerana kesilapan penjaga gol yang melepaskan bola. Ianya juga mengambil kira bagaimana gol tersebut dihasilkan secara teknikal.

5. Syahrul Azwari vs PJ City FC

Jaringan bekas pemain skuad Harimau Muda ini kembali mengingatkan kita kepada kualiti yang ada pada beliau. Bertubuh kecil, tidak pernah membataskan beliau untuk sentiasa mengancam kubu lawan – sama ada melalui kelincahan, atau pun kebolehan mencari ruang di celah kepadatan pemain di dalam kotak penalti. Hakikatnya, kita harus akur pemain ini tidak pernah mencapai potensi diri seperti yang diharapkan.

Di bawah kendalian Aidil Sharin, ia bagaikan satu lagi peluang baru untuk pemain ini membuktikan dirinya. Tandukan yang menghasilkan gol dalam perlawanan PJ Ciry FC adalah bukti kepada ‘poaching ability’ yang dimiliki pemain ini – bijak mencari ruang untuk menerima hantaran- sekaligus mematikan langkah penjaga gol lawan.

4. Rufino Segovia vs Pahang FA

Ada sebab Rufino Segovia bergelar pemenang kasut emas pada musim lalu – sekiranya penilaian terhadap jaringan menentang Pahang ini diambil kira. Tenang kekal berada di belakang, diantara pemain pertahanan lawan, secara automatik memberikan ruang yang cantik untuk Syazwan Zainon melorongkan bola.

Rufino kemudiannya hanya perlu melakukan larian yang memerangkap pemain pertahanan lawan, dan melepaskan rembatan kaki kiri padu ke near post. Ia berlaku dengan pantas dan tajam, sekaligus mengejutkan lawan. Anda boleh perhatikan benteng akhir Pahang, Herold Goulon tidak boleh berbuat apa-apa di dalam situasi tersebut.

3. Hadin Azman vs Perak

Jika diarahkan untuk menyenaraikan perkara paling positif mengenai prestasi Felda United selepas empat perlawanan yang dilalui pada musim ini, kami yakin Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil akan menyebut nama Hadin Azman sebagai salah satu daripada perkara tersebut.

Felda United belum lagi mencapai kemenangan. Namun Hadin sudah dua kali menyelamatkan pasukan itu dari kekalahan. Pemain ini telah menjaringkan gol penyamaan dalam perlawanan menentang Selangor dan PKNP. Menentang Perak di Ipoh pada hujung minggu lalu, sepakan percuma cantik pemain tengah ini merupakan jaringan pendahuluan untuk pasukannya.

2. Fernando Rodriguez vs PJ City FC

Ini adalah jaringan sulung Fernando Rodriguez di Liga Malaysia, sejak pemain import dari Sepanyol ini menyertai Kedah dari kelab Liga 1 Indonesia, Mitra Kukar.

Jaringan Rodriguez kelihatannya amat mudah. Namun bagaimana jaringan tersebut dihasilkan, melayakkan ia berada di dalam senarai kami pada minggu ini. Bermula dari memenangi bola dari kawasan sendiri, serangan balas pantas Kedah -dilakukan secara berpasukan- menggambarkan stabiliti yang dibawa oleh Aidil Sharin ke dalam pasukan musim ini.

1. Safawi Rasid vs Melaka United

Tatkala perhatian di Larkin tertumpu ke arah Leandro Velazquez yang kembali menyarung jersi skuad Harimau Selatan sejak 2015, pemain tempatan Safawi Rasid mencuri tumpuan dengan kualiti jaringan yang dihasilkan. Dikritik oleh penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan kerana kegopohan di hadapan gawang dalam beberapa perlawanan lalu, Safawi membuktikan mengapa beliau sentiasa berada di dalam kesebelasan utama Luciano Figueroa – sesuatu yang perlu dijadikan motivasi oleh pemain muda lain seperti Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan lain-lain.

Bermula dari lontaran ke dalam, kuisan Diogo Santo mengelirukan pertahanan lawan, membenarkan Safawi menggelecek tiga lagi pemain sebelum ‘chip’ rendah beliau mengelirukan Khairul Fahmi di hadapan gawang. Sungguh jahat gol itu!

Penutup

Safawi Rasid telah menutup mulut pengkritik dengan jaringan cantik pada minggi ini. Hadin Azman pula berada di prestasi terbaik bersama Felda United, tatkala Syahrul Azwari mahu kempen beliau bersama Kedah digunakan sebaik mungkin untuk kembali menyinar.

Minggu yang bagus untuk pemain tempatan?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN