MSL 2018: Raih Kemenangan Bertemu Perak, JDT Kukuhkan Cengkaman Di Persada Liga Super

JDT

Pertembungan menarik dua pasukan teratas saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 memihak Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas pendahulu liga itu menewaskan Perak dengan keputusan 2-0 pada perlawanan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Tuan rumah tidak menunggu lama bagi menggembirakan penyokong setia mereka seawal minit kelima perlawanan.

Gol tersebut dihasilkan oleh penyerang import baharu dari Argentina, Fernando Marquez setelah beliau menyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Penalti tersebut dihadiahkan pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan selepas Leandro Dos Santos Oliveira didakwa mengasari Marquez dalam kotak penalti pasukan Perak.

Anak buah Mehmet Durakovic mempunyai dua peluang keemasan berturut-turut untuk kembali menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun percubaan dari Mohd Nor Hakim Hassan dalam kotak penalti selepas beliau berjaya memperdayakan pertahanan JDT dinafikan kecekapan Farizal Marlias pada minit ke-10.

Seminit kemudian, Wander Luiz Bitencourt Junior turut terlepas peluang selepas beliau mensia-siakan hantaran lintang cantik dari Nasir Basharudin dengan kuisan yang sedikit meliar melewati palang gol JDT.

Perak terus bernafsu bagi memberikan tentangan hebat buat tuan rumah dengan serangan balas pantas di bahagian sayap, namun kerja keras mereka dihampakan dengan kelemahan penyudah di hadapan gol.

Sepakan percuma yang diambil Wander Luiz pada minit ke-26 gagal ditanduk Gilmar Jose Da Silva Filho walaupun penjaring terbanyak Perak itu hanya berhadapan dengan Farizal.

Dua lagi peluang terbaik Perak menjelma menerusi Wander Luiz apabila percubaannya pada minit ke-29 tersasar ke sebelah kanan pintu gol setelah mendapat lorongan dari Nor Hakim.

Berselang lapan minit kemudian, Wander bijak menghidu kesilapan pertahanan JDT untuk melakukan percubaan lambung yang sudah berjaya menewaskan Farizal, bagaimanapun bola masih gagal menemui sasaran gol.

Walaupun mengawal permainan pada babak pertama, JDT kelihatan bergelut untuk mencipta gerakan berbahaya bagi mengancam kubu Perak.

Pengendali JDT, Raul Longhi mengeluarkan Safiq Rahim sebelum sepak mula babak kedua bermula bagi digantikan dengan Gary Steven Robbat untuk memperkuatkan jentera tengah pasukan.

Percaturan tersebut memberikan penguasaan yang lebih jitu dipamerkan JDT sekaligus berjaya mengendurkan serangan Perak yang kelihatan lebih pasif pada separuh masa kedua.

Pemain gantian, Jorge Santos Silva akhirnya menamatkan sisa perjuangan Perak selepas gerakan solo beliau dari luar kotak penalti berjaya memperdayakan Shahrul Saad untuk jaringan kedua pada minit ke-84.

Beberapa peluang dimiliki Perak selepas itu terus hampa untuk perlawanan berakhir dengan keputusan 2-0 memihak JDT.

Dengan kemenangan ini meletakkan JDT unggul di tangga teratas dengan mengumpul 32 mata bagi melebarkan kelebihan lapan mata meninggalkan Pahang di tempat kedua.

Perak pula jatuh satu anak tangga untuk menghuni tangga ketiga dengan 23 mata.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN