MSL 2018: PKNP FC Kembali Raih Kemenangan Selepas Tundukkan Kuala Lumpur Di Batu Kawan

PKNP FC

Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) kembali meraih kemenangan apabila menundukkan Kuala Lumpur 2-1 pada perlawanan unifi Liga Super 2018 yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang sebentar tadi.

Kealpaan penjaga gol PKNP FC, Bryan See Tian Keat hampir membawa padah pada minit awal permainan apabila sepakan terus yang ingin dilakukannya terkena Junior Aparecido.

Bola yang terbias mengenai pemain antarabangsa Timor Leste itu bagaimanapun gagal memberikan jaringan buat Kuala Lumpur.

PKNP FC berjaya menghasilkan jaringan pada minit ke-17 menerusi Franklin Anzite, namun beliau telah terlebih dahulu dikesan ofsaid bagi menafikan gol tersebut.

Kehadiran semula ketua pasukan, Shahrel Fikri Md Fauzi ternyata memberikan suntikan semangat buat tuan rumah dengan larian-larian yang dilakukannya berjaya mengkucar-kacirkan jentera pertahanan Kuala Lumpur.

Shahrel membuat satu larian pantas menewaskan pertahanan kanan, Firdaus Faudzi yang seterusnya melakukan hantaran lintang ke kotak penalti.

Namun, Ridzuan Azly yang tidak dikawal pertahanan Kuala Lumpur gagal membaca dengan kemas hantaran menarik tersebut.

Shahrel Fikri juga mempunyai peluang keemasan untuk mencipta jaringan apabila tandukannya hasil hantaran daripada Ridzuan Azly berjaya ditepis keluar Kamarul Effendi di gawang pasukan pelawat.

Kuala Lumpur turut mendapat peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan tetapi sepakan percuma pada minit ke-38 yang diperolehi berjaya diselamatkan Bryan See.

Paulo Josue hampir memberikan kelebihan buat Kuala Lumpur pada awal babak kedua selepas sepakan percuma yang diambil hanya singgah di palang gol.

PKNP FC akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan hasil tandukan yang dilakukan pemain pertahanan import, Ritus Krjauklis.

Ritus berjaya menanduk masuk hantaran dari sepakan sudut oleh Mohamad Ezanie Mat Salleh pada minit ke-65.

Pemain gantian, Irwan Syazmin Wahab menambah jaringan kedua buat PKNP FC pada minit ke-78 selepas rembatan luar kotak penalti gagal ditangkap kemas dan hanya melalui celah kaki Kamarul Effandi.

Tersentak dengan dua jaringan tersebut, skuad bimbingan Fabio Maciel itu memperkemaskan aksi mereka dan berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan sendiri pemain PKNP FC, G.Ganiesh.

Kuala Lumpur terus menggandakan asakan untuk mencari jaringan penyamaan. Namun, usaha tersebut masih gagal menghalang PKNP FC untuk mencatatkan kemenangan kedua musim ini.

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN