MSL 2018: JDT Belasah Melaka United, Selangor Ikat Pahang Di Darul Makmur

Saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 diteruskan dengan 4 perlawanan dilangsungkan di pelbagai lokasi di serata Malaysia.

Di Alor Star, Kedah mencatatkan kemenangan selesa apabila mereka menumbangkan PKNS FC.

Anda boleh baca laporan penuh mengenai perlawanan itu di sini.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka United dimalukan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan jaringan besar 4-0.

Fernando Marquez mengecewakan Melaka United apabila jaringan beliau 5 minit sebelum rehat separuh masa memberikan pendahuluan kepada pasukan pelawat.

Di separuh masa kedua, JDT menyumbat 3 lagi gol untuk mengesahkan 3 lagi mata buat mereka.

Fernando Elizari menjaringkan gol kedua pada minit ke-53 sebelum Safawi Rasid menjaringkan gol pada minit ke-64.

Nazmi Faiz mengesahkan kemenangan JDT dengan jaringan pada minit ke-90+1.

Gambar: MFL

Di Kuantan pula, Pahang dikecewakan oleh Selangor apabila pasukan pelawat mengikat pasukan tuan rumah dengan jaringan 1-1.

Wan Zaharulnizam meletakkan Pahang di hadapan dengan menjaringkan gol pada minit ke-49.

Gambar: MFL

Namun, kelebihan Pahang itu dipadamkan oleh Rufino Segovia apabila penyerang tajam tu sekali lagi menjaringkan gol untuk Selangor pada minit ke-62.

Di Ipoh, Perak memperoleh kemenangan selepas menewaskan Kelantan dengan jaringan tipis 1-0.

Gambar: MFL

Jaringan penalti Wander Luiz pada minit ke-70 cukup untuk memberikan 3 mata untuk Perak kekal di tangga kedua liga.

Selepas 4 perlawanan ini yang dilangsungkan semalam, JDT terus kekal di tangga teratas liga.

Sementara Pahang dipintas Kedah yang berjaya menang ke atas PKNS FC.

Selangor dan Melaka United masing-masing di tangga ketujuh dan kelapan liga dengan 20 mata – hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram