MSL 2018: Perak ‘Hanyut’ Di Lumut Selepas Tewas Keatas PKNS FC

PKNS FC

Perak gagal mengulangi rentak kemenangan dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 selepas tewas 2-0 di tangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) di Stadium TLDM, Lumut sebentar tadi.

PKNS FC berjaya mengejutkan tuan rumah seawal minit ke-2 menerusi pemain import dari Brazil, Rafael Ramazotti.

Gol berpunca daripada percubaan jarak jauh dilakukan Romel Oswaldo Morales yang terkena tiang gol, bola muntah hasil rembatan tersebut tepat ke Ramazotti yang tidak dikawal pertahanan Perak dengan mudah menewaskan Hafizul Hakim Khairul Nizam.

Tersentak dengan jaringan minit awal itu, Perak memperkemaskan aksi dan hampir menyamakan kedudukan selepas Leandro Dos Santos Oliveira meledakkan rembatan menarik ke arah gawang PKNS FC, namun rembatan tersebut hanya singgah di tiang gol.

Pemain tengah PKNS FC, Jonatan Leonel Acosta juga melakukan rembatan yang terkena tiang gol bagi mencemaskan pintu gol Perak pada minit ke-28 perlawanan.

PKNS FC hampir menambah jaringan kedua di minit ke-31 berpunca dari keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol Perak tetapi percubaan susulan dari Ramazotti tersasar.

Beberapa percubaan tepat dilakukan Perak tidak mendatangkan masalah buat penjaga gol pelawat, Mohd Shahril Sa’ari yang masih kebal di gawangnya pada separuh masa pertama.

Mohd Shahril bagaimanapun hampir melakukan kesilapan yang sama seperti penjaga gol Kuala Lumpur tempohari.  Nasib beliau cukup baik apabila pemain pertahanan bertindak pantas bagi mengawal keadaan.

Memasuki babak kedua, Mohd Shahril sekali lagi hampir dihukum akibat kelalaian beliau sendiri setelah sepakan yang ingin dilakukannya terkena Gilmar Jose Da Silva, mujur bola biasan tersebut gagal menemui sasaran jaringan.

PKNS FC menambah jaringan kedua pada minit ke-62 sekali lagi menerusi Ramazotti selepas beliau menanduk masuk bola hasil sepakan percuma yang diambil Mahali Jasuli pada minit ke-62.

Perak berusaha keras bagi mendapatkan jaringan namun usaha yang dilakukan masih belum membuahkan hasil untuk perlawanan berakhir dengan memihak pasukan pelawat.

Keputusan ini menyaksikan Perak mencatatkan kekalahan pertama musim ini selepas beraksi tiga perlawanan. PKNS FC pula melakarkan kemenangan kedua berturut-turut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram