MSL 2018: Perak Cipta Kemenangan Dramatik Atasi PKNP FC Di Ipoh

Perak

Perak bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mencatatkan kemenangan dramatik 4-3 keatas Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dalam aksi unifi Liga Super Malaysia 2018 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Separuh masa pertama

Beraksi di atas padang yang basah tidak merencatkan aksi kedua-dua pasukan yang berpangkalan di Ipoh itu.

Perak terlebih dahulu mencemaskan gawang PKNP FC yang dikawal Ahmad Asyraaf Omar menerusi percubaan dari Shahrul Mohd Saad pada minit ke-5.

Shahrul melakukan rembatan susulan kesilapan Ahmad Asyraaf yang gagal menangkap kemas sepakan percuma dari Nazirul Naim Che Hashim, bagaimanapun percubaan pemain pertahanan itu hanya sedikit melewati palang gol.

Berselang tiga minit kemudian, Mohd Nor Hakim Hassan menceriakan para penyokong setia mereka dengan rembatan leret yang menerjah jaring PKNP FC.

Jaringan tersebut berpunca dari tandukan ke belakang  dilakukan Gilmar Jose Da Silva yang mencari Nor Hakim sekaligus mudah menewaskan Ahmad Asyraaf.

Perak berpeluang untuk menambah jaringan pada minit ke-19, namun rembatan yang dilakukan Brendan Gan berjaya dinafikan Ahmad Asyraaf.

PKNP FC memperkemaskan aksi bagi memburu jaringan penyamaan dan usaha tersebut membuahkan hasil pada minit ke-33.

Hantaran lintang yang diilhamkan Mohamad Hafiz Ramdan tepat menemui Clovis Franklin Anzite yang tidak dikawal pemain pertahanan lalu menembusi gawang gol Perak untuk kembali menyamakan kedudukan.

Seminit kemudian, Wander Luiz hampir meletakkan Perak di hadapan tetapi Ahmad Asyraaf cemerlang menggagalkan usaha pemain kelahiran Brazil itu.

Separuh masa kedua

Aksi pada babak kedua begitu mendebarkan dengan serangan kedua-dua pasukan lebih mengancam ke kubu lawan masing-masing sehingga saingan akhir permainan.

Lima jaringan telah terhasil pada aksi di babak kedua.

Pemain gantian yang merupakan pertahanan kiri PKNP FC, Mohamad Syamin Baharuddin mengejutkan Perak dengan jaringan pada minit ke-60.

Syamin meledak rembatan dari sebelah kanan pintu gol Perak yang terus memperdayakan Hafizul Hakim Khairul Nizam.

PKNP FC terus menekan tuan rumah dengan jaringan ketiga akibat kesilapan yang dilakukan Nazirul Naim yang gagal menyelamatkan bola di dalam kotak penalti.

Nor Hakim Isa yang berseorangan di dalam kotak penalti Perak tidak mensia-siakan peluang untuk melepaskan satu rembatan pada minit ke-68.

Anak buah Mehmet Durakovic kembali merapatkan kedudukan pada minit ke-76 menerusi ketua pasukan, Mohamad Nasir Basharudin yang menolak masuk hantaran yang dilakukan Gilmar.

Jaringan tersebut menjadi tonik berguna buat Perak untuk terus memburu jaringan.

Usaha bertali-arus yang dilancarkan akhirnya menjelmakan jaringan penyamaan pada minit ke-84 setelah Wander Luiz Bitencourt Junior melegakan penyokong Perak untuk kembali merapatkan keputusan menjadi 3-3.

Ketika perlawanan bakal berkesudahan dengan terikat, pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin menghadiahkan sepakan penalti buat Perak selepas berlaku kekasaran dalam kotak penalti PKNP FC.

Gilmar Jose Da Silva muncul wira skuad The Boss Gaurus selepas menyudahkan sepakan penalti untuk memastikan tiga mata penuh buat Perak pada perlawanan yang sungguh dramatik ini.

Kemenangan ini meletakkan Perak kini di tangga kedua unifi Liga Super Malaysia 2018 dengan mencatatkan 24 mata.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram