MSL 2018: Kelantan Terus Cari Fajar Kebangkitan, Ashari Samsuddin Wira Terengganu FC

Dua lagi saingan unifi Liga Super Malaysia pada malam tadi membabitkan Negeri Sembilan dan juga Kelantan di Paroi, manakala Melaka United berkunjung ke Kuala Terengganu untuk berhadapan dengan anak buah Irfan Bakti, Terengganu FC.

Di Stadium Tunku Abul Rahman, Paroi

Negeri Sembilan akhirnya berjaya melakar kemenangan kedua selepas mengharungi 12 perlawanan unifi Liga Super pada musim ini, setelah berjaya menewaskan Kelantan 2-0 di Paroi pada malam tadi.

Berada di dalam kesebelasan utama skuad Hobin Jang Hobin ialah pemain import yang baru didaftarkan, Angel Guirado yang digandingkan bersama penyerang negara, N. Thanabalan.

Sumber: FMLLP, Facebook

Walaupun gantingan Guirado dan Thanabalan cuba mengancam pada awal perlawanan, ia jelas mudah dipatahkan oleh barisan muda pertahanan Kelantan.

Sebaliknya Nicolas Velez terlebih dahulu mempunyai peluang terbuka, namun percubaan pemain itu leret ke dakapan penjaga gol The Red Warriors, Mohd Fikri Che Soh pada minit ke-15 perlawanan.

Seminit kemuduan, seorang lagi pemain import baharu Negeri Sembilan tidak mensia-siakan peluang terhidang apabila menanduk masuk sepakan sudut oleh Kim Do Heon untuk memberikan pendahuluan 1-0 kepada pasukan tuan rumah.

Sumber: FMLLP, facebook

Minit ke-37 perlawanan menyaksikan pemain pertahanan Kelantan, Mugamad Shahrul Nizam Hasni dipersalahkan oleh pengadil apabila menjatuhkan N. Thanabalan di dalam kotak penalti.

Sepakan penalti selepas itu tenang disudahkan oleh Guirado untuk gol kedua pasukan Negeri Sembilan.

Tiada perubahan jaringan pada babak kedua perlawanan, dan Negeri Sembilan berjaya mengutip tiga mata, namun kekal di tangga tercorot saingan unifi Liga Super 2018 dengan Kelantan di tangga ke-11 memiliki kelebihan jaringan.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu

Di Kuala Terengganu, anak buah Irfan Bakti meneruskan rentak cemerlang dengan tiga kemenangan berturut-turut setelah seperti hilang arah pada awal Mei.

Setelah mengejutkan Pahang dan menewaskan Perak, kini giliran Melaka United menjadi mangsa pasukan dari Pantai Timur itu.

Sumber: FMLLP, Facebook.

Walapun turun tanpa perancang utama pasukan, Lee Tuck yang terpaksa direhatkan kerana pergantungan satu perlawanan, Terengganu FC bermula garang dengan percubaan melalui Igor Zonjic yang terkena palang gol seawal minit ke-3 perlawanan.

Melaka United yang baru mendapatkan sentuhan jurulatih baharu, E. Elavarasan turut tidak berdiam diri apabila serangan balas pasukan itu disusuli oleh rembatan kencang R Gopinathan, namun percubaan pemain sayap tersebut tinggi melewati palang gol.

Bruno Suzuki dan bek kanan menyerang, Kamal Azizi turut terlepas peluang terbaik meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan apabila percubaan dua pemain tersebut dihadang pertahanan dan tinggi melewati palang.

Melaka United turut gagal menemui sentuhan penyudah apabila tandukan pemain import, Yahor Zubovich sekadar melepasi palang gol pada minit ke-49 perlawanan.

Sumber: FMLLP, Facebook

Pendahulu senarai penjaring unifi Liga Super dengan 8 gol, Kipre Tchetche turut terlepas peluang terbaik apabila menolak tinggi bola di hadapan gol lawan, walaupun hanya berhadapan dengan Khairul Fahmi Che Mat.

Bekas pemain kebangsaan, Mohd Ashari Samsuddin akhirnya muncul wira pasukan Terengganu FC apabila meledak jaringan tunggal perlawanan melalui rembatan cantik dari luar kotak penalti.

Kedudukan kekal 1-0 sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram