MSL 2018: Donghyun Wira Kelantan, Ledak Hatrik Untuk Tundukkan Perak

Jaringan hatrik Do Donghyun memastikan pasukannya, Kelantan berjaya meraih kemenangan sulung dan tiga mata berharga dalam aksi ke-4, unifi Liga Super 2018, sebentar tadi.

Kelantan turun di laman sendiri, Stadium Sultan Muhammad IV, dengan misi memburu 3 mata pertama dalam aksi liga tanpa ketua jurulatihnya, Sathit Bensoh yang telah dipecat.

Sementara Perak pula dilihat mahu memperbaiki aksi mereka selepas tewas 0-2 pada perlawanan minggu ke-3 menentang PKNS FC di Stadium TLDM, Lumut.

Tumpuan utama perlawanan ini pastinya adalah kehadiran semula pemenang kasut emas musim lalu dengan 23 gol, Mohamad Ghaddar yang kembali ke pangkuan Kelantan baru-baru ini.

Separuh masa pertama

Kelantan yang turun dengan penggempur ‘baharu’ mereka, Ghaddar dilihat ghairah mengasak kubu Perak dengan beberapa asakan dan percubaan dalam 10 minit pertama.

Kesebelasan utama Kelantan. Foto: Wawan Faiz/CSN.

Seawal minit kedua lagi, Ghaddar telah berjaya memecah masuk ke kawasan Perak apabila berjaya melepasi kawalan pertahanan namun kawalan bolanya sedikit mengecewakan.

Pada minit ke-7, hasil clearance kurang baik pertahanan ‘The Bos Gaurus’ membolehkan Bruno Lopes membuat percubaan dari luar kotak penalti yang berjaya ditepis oleh Hafizul Hakim.

Perlawanan tampak mulai seimbang selepas perlawanan memasuki minit ke-10 dengan Perak kembali mendapat rentak. Kedua-dua pasukan dilihat saling bertukar-tukar asakan.

Kesebelasan utama Perak. Foto: Wawan Faiz/CSN.

Perak melakukan percubaan pertama menerusi Wander Luiz pada minit ke-15 dengan percubaan jarak jauh yang tersasar dari gawang yang dikawal oleh Khairul Fahmi Che Mat.

GOL – Nor Hakim Hassan berjaya memecah kebuntuan apabila meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-21, hasil hantaran kemas Brendan Gan ke dalam kotak penalti Kelantan.

Pemilik jersi nombor 19 Perak itu langsung tidak dikawal dan hanya melakukan lambungan bola ke dalam gol Kelantan, dengan Khairul Fahmi dilihat tidak mampu berbuat apa-apa.

Ghaddar mampu untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-25 apabila berjaya memintas pertahanan lawan dan Hafizul Hakim, namun penjaga gol Perak itu berjaya menguis sedikit bola tersebut.

Hasil hantaran Do Donghyun, pemain sayap, Ferdinand Sinaga berjaya melakukan percubaan buat pasukan Kelantan, namun sedikit tersasar dari palang gol pada minit ke-37.

Separuh masa kedua

Tiada perubahan pemain yang dibuat oleh kedua-dua pasukan apabila perlawanan memasuki babak kedua.

10 minit di babak kedua, hasil hantaran jarak jauh Donghyun, Ghaddar berjaya melakukan percubaan dengan lambungan dari luar kotak penalti namun ianya tersasar.

Pada minit ke-59, hasil hantaran S. Veenod ke dalam kotak penalti telah berjaya ditanduk oleh Bruno, namun Hafizul Hakim berjaya menangkap kemas tandukan tersebut.

Rembatan padu di sebelah kiri gol Kelantan oleh Gilmar pada minit ke-65 pula telah berjaya diselamatkan oleh Khairul Fahmi.  Ianya berpunca dari hantaran kemas Brendan Gan.

GOL – Kelantan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-68 selepas tandukan nipis Donghyun menewaskan Hafizul Hakim berpunca daripada hantaran kapten, Badhri Radzi.

GOL – Tidak sampai seminit, Wander Luiz pula berjaya meletakkan Perak kembali di depan hasil lorongan baik oleh Nor Hakim dari sebelah kiri gawang ‘The Red Warrior’.

GOL – Donghyun mengegarkan Stadium Sultan Muhammad IV apabila sekali lagi meledak gol penyamaan selepas menyambung tandukan Badhri Radzi di depan gol lawan pada minit ke-77.

2 minit kemudian, Bruno nyaris meletak Kelantan di depan apabila berjaya merampas bola daripada pemain gantian, Nasir Basharudin, namun rembatannya sedikit tersasar.

GOL – Donghyun mengesahkan hatriknya pada minit ke-88, selepas berjaya menyambar clearence kurang baik pertahanan, Robert Cornthwaite seterusnya menewaskan penjaga gol Perak.

Jaringan minit akhir oleh Gilmar telah dibatalkan oleh pengadil perlawanan selepas pemain Perak tersebut didapati berada pada kedudukan offside.

Tamat perlawanan dengan Kelantan memenangi perlawanan ke atas Perak dengan keputusan 3-2.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN