MSL 2018: Kedah Tewas Di Laman Sendiri, Selangor Belasah Kelantan Di Cheras

Aksi pertama unifi Liga Super Malaysia 2018 pada bulan Jun menyaksikan dua perlawanan diadakan di Alor Star dan juga di Cheras.

Pasukan Kedah yang dalam usaha untuk terus mendekati kelompok atasan liga melayan kunjungan Melaka United yang berusaha memperbaiki kedudukan liga mereka di kelompok bawahan.

Usaha Kedah untuk mencari 3 mata nyata tidak berhasil walaupun beraksi di laman sendiri.

Mereka ditewaskan Melaka United dengan jaringan 2-0 dengan pasukan pelawat berjaya memperoleh kedua-dua gol di penghujung babak pertama dan kedua perlawanan.

Yahor Zubovich menjaringkan gol pertama Melaka United pada minit ke-42 perlawanan sebelum 3 mata pasukan pelawat disahkan menerusi jaringan Lee Chang-Hoon pada minit ke-89.

Gambar: Melaka United

Perlawanan ini turut menyaksikan aksi pertama Paolo Rangel di Stadium Darul Aman – beliau masih gagal menjaringkan gol untuk Kedah setakat ini.

Sementara S. Veenod memperoleh penampilan pertama bersama Melaka United yang cukup menyakinkan apabila berjaya mengekang gerakan Andik Vermansah dan Syazwan Zainon.

Sementara di Cheras, dua pasukan iaitu Selangor dan Kelantan bertarung dalam perlawanan penting untuk melarikan diri dari zon penyingkiran.

Segalanya nampak positif buat pasukan Kelantan di peringkat awal apabila taktikal permainan tekanan tinggi berjaya memberikan peluang kepada mereka untuk menjaringkan gol.

Namun selepas 15 minit perlawanan, Selangor mula mengambil alih perlawanan dan terus melancarkan banyak serangan yang diketuai oleh Rufino Segovia sambil dibantu oleh Amri Yahyah.

Hasilnya, Selangor berjaya memecah kebuntuan apabila Segovia menjaringkan gol pada minit ke-31 menerusi rembatan kaki kiri.

5 minit kemudian, kaki kiri Segovia terus menghasilkan riang di wajah penyokong Selangor apabila rembatan leret beliau menewaskan Fikri Che Soh di gawang Kelantan.

Evan Dimas menambah derita pasukan Kelantan apabila menjaringkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-38.

Persembahan cemerlang Segovia ditamatkan pada separuh masa kedua apabila beliau melengkapkan hatrik beliau pada minit ke-82.

Gambar: FA Selangor

Hatrik tersebut merupakan hatrik pertama beliau bersama Selangor dan dalam kancah bola sepak Malaysia.

Selepas 2 perlawanan ini, Kedah berada ditangga kelima liga dengan 21 mata sementara Melaka United ditangga kesembilan dengan 14 mata.

Selangor ditangga kelapan liga dengan 14 mata dipisahkan dengan perbezaan jaringan dengan Melaka United. Kelantan pula terus kekal di zon penyingkiran dengan 8 mata.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram