MSL 2018: Jaringan Tunggal Akhyar Rashid Bantu Kedah Tumpaskan PKNP FC

Kedah

Jaringan tunggal lewat perlawanan oleh Akyar Rashid memberikan kemenangan sulung buat Kedah dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 ketika berkunjung ke Stadium Batu Kawan pada perlawanan bertemu Perbadanan Kemjuan Negeri Perak (PKNP FC) sebentar tadi.

Separuh masa pertama

PKNP FC dan Kedah masing-masing mempamerkan aksi menarik apabila saling berbalas asakan. Ketumpulan penyudah dan kecekapan penjaga gol memaksa kedua-dua pasukan terikat sehingga tamat 45 minit pertama.

Tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang Kedah yang dikawal Muhd Asri Muhamad apabila pemain dari Korea Selatan, Yeon Gisung melakukan tandukan yang sekadar singgah di palang gol pada minit ke-6 hasil dari sepakan sudut oleh Hafiz Ramdan.

Berselang dua minit kemudian, Baddrol Bakhtiar mendapat peluang terbaik untuk menjaringkan gol pendahuluan selepas rembatan yang diledakkannya dari luar kotak penalti membias terkena Franklin Clovis Anzite.

Penjaga gol PKNP FC, Bryan See Tian Keat bertindak cemerlang bagi menepis percubaan berbahaya tersebut.

Mohamad Hafiz Ramdan juga turut berpeluang untuk meletakkan nama selaku penjaring.

Beliau yang berjaya meloloskan diri dari kawalan pertahanan Kedah, melakukan rembatan kaki kiri kencang ke arah pintu gol Kedah. Muhd Asri bagaimanapun lebih tangkas dalam menangkis rembatan dari Hafiz itu.

Sandro Da Silva Mendoca harus menyalahkan dirinya sendiri apabila beliau mensia-siakan peluang keemasan selepas tidak dikawal dalam kotak penalti.

Pemain kelahiran Brazil itu sekadar melakukan rembatan meliar yang jelas menghampakan penyokong setia Kedah yang hadir ke Stadium Batu Kawan.

Ketika perlawanan babak pertama semakin hampir untuk ditamatkan, Kedah mendapat dua peluang keemasan masing-masing menerusi Pablo Pallares dan Akhyar Rashid.

Tandukan yang dilakukan Pallares berjaya ditepis keluar oleh Bryan See Tian Keat manakala sepakan Akhyar Rashid yang tidak dikawal dalam kotak penalti hanya tersasar.

Separuh masa kedua

Kedah kelihatan lebih menguasai permainan pada saingan awal babak kedua. Namun begitu ianya belum cukup buat skuad bimbingan Ramon Marcote itu untuk membuka tirai jaringan.

Kemasukan pemain kebangsaan Kemboja, Keo Sokpheng yang menggantikan Irwan Syazmin Wahab pada minit ke-59 sedikit sebanyak mengubah corak permainan PKNP FC buat seketika.

Pemain pertahanan PKNP FC dari Bulgaria, Luben Nikolov melakukan tandukan yang sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol berpunca daripada satu sepakan sudut dari Sokpheng.

Kedah kemudiannya kembali memperkemaskan aksi untuk melancarkan serangan dan hampir sahaja memperoleh jaringan pada minit ke-76.

Namun tandukan yang dilakukan Pablo Pallares terbias mengenai Ritus Krjauklis yang menyaksikan bola hanya lalu di hadapan pintu gol PKNP FC untuk bergolek keluar.

Penyokong Kedah akhirnya melonjak kegembiraan apabila Akhyar Rashid berjaya memecah kebuntuan pada penghujung aksi, berpunca daripada tindakan  susulan yang dilakukannya hasil percubaan awal dari Pablo Pallares yang berjaya diselamatkan Bryan See.

Yeon Gisung berpeluang untuk mendapatkan jaringan penyamaan pada masa kecederaan, namun tandukan yang dilakukan pemain dari Korea Selatan itu berjaya dinafikan Muhd Asri untuk perlawanan tamat dengan memihak buat Kedah.

Jaringan tunggal dari Akhyar itu sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan pertama dalam saingan liga buat Kedah yang sekaligus meredakan sedikit kekecewaan peminat selepas tewas dua perlawanan terdahulu.

Kredit foto: Google.com

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN