MSL 2018: Jaringan ‘Golden Boy’ Amri Yahyah Selamatkan Selangor

Meskipun masih dalam ‘mood’ perayaan Hari Raya Aildilfitri dan demam Piala Dunia 2018, saingan unifi Liga Super 2018 diteruskan dengan aksi ke-16 liga mengambil tempat pada malam ini.

The Red Giants, Selangor turun di Stadium Cheras dengan misi mahu meraih kemenangan selepas sekadar seri dalam aksi ke-15 liga menentang seteru setempat, PKNS FC, 9 hari lalu.

Sementara Perak, The Bos Gaurus pula tampil untuk mengukuhkan posisi kedua liga. Kemenangan terakhir mereka di tempat lawan adalah pada April lalu ke atas PKNP FC 2-1 di Stadium Batu Kawan.

Tuan rumah turun dengan formasi 4-1-2-3 apabila menyenaraikan barisan terkuat mereka dengan pendahulu penjaring terbanyak liga, Rufino Segovia mengemudi jentara serangan.

Pasukan pelawat pula turun tanpa beberapa tonggak utama pasukan antaranya Gilmar, Leandro, Nasir Basharudin dan penjaga gol Hafizul Hakim dilihat tampil dengan formasi 4-4-2.

Separuh masa pertama

Babak pertama menyaksikan penyerang berbahaya The Red Giants, Rufino yang telah meledak 13 gol sehingga kini berjaya dirantai ketat oleh kapten Perak, Shahrul Saad.

Selangor dilihat bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik biarpun terlebih dahulu mengasak ke kubu lawan hasil gandingan menarik antara kapten, Amri Yahya dan Rufino.

Hasil umpanan baik Amri Yahya pada minit ke-6, Rufino mendapat peluang cukup baik di depan gol namun berjaya dihadang oleh benteng baharu Perak, Jad Noureddine.

Perak baru dilihat cuba mengasak kubu lawan menerusi kedua-dua sayap yang dikemudi oleh Nor Hakim Hassan dan Khairil Anuar, namun tidak mampu masuk ke zon pertahanan Selangor.

Percubaan pertama Perak hadir pada minit ke-16 hasil percubaan half volley Nor Hakim yang sekadar tersasar ke kanan pintu gol tuan rumah yang dikawal oleh Khairulazhan Khalid.

Nor Hakim Hassan. Foto: FB Perak TBG

Ternyata Nor Hakim adalah pemain tumpuan The Bos Gaurus dengan majoriti asakan bermula daripadanya. Dia turut dilihat bertukar-tukar posisi sayap dengan Khairil Anuar.

Separuh daripada aksi babak pertama menyaksikan Perak lebih dominan dengan asakan sementara Selangor masih tidak dapat mengatur asakan selepas asakan sulung di minit ke-6.

Minit ke-27, akhirnya Selangor berjaya menembusi benteng Perak apabila Amri Yahya melakukan rembatan namun berjaya dinafikan Khairul Amri, yang membuat penampilan pertama.

Di minit ke-36, Wander Luiz berjaya melepasi kawalan pertahanan Selangor, Amirul Ashraf sebelum melepaskan rembatan padu melewati pintu gol dan hanya diperhatikan oleh Khairulazhan.

Gol pertama Perak terhasil pada minit ke-42 hasil kesilapan pertahanan import Selangor, Alfonso de la Cruz yang tertampan ke pintu gol sendiri, berpunca dari umpanan Nor Hakim.

Kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh Alfonso kerana tiada asakan berbahaya daripada barisan serangan pelawat yang diketuai oleh penyerang berpengalaman, Nizad Ayub.

Separuh masa kedua

Selangor hadir mengasak di babak kedua dengan beberapa percubaan ke pintu gol The Bos Gaurus namun dikecewakan oleh sentuhan penyudah yang tidak berkesan.

Perak pula tampil lebih agresif di babak kedua walaupun dalam saingan babak pertama mereka dilihat lebih berdisipilin dengan kurang membuat sebarang asakan berbahaya.

Rufino yang berjaya melepasi kawalan ketat benteng Perak ke atasnya selepas mendapat hantaran baik Evan Dimas gagal menggegar gawang lawan pada minit ke-58.

Kedua-dua pasukan tampak buntu dan gagal untuk melakukan percubaan berbahaya ke kubu lawan dengan aksi keras lebih banyak menghiasi saingan di babak kedua ini.

Lambungan cantik Amri Yahya berpunca dari sepakan percuma pada minit ke-75 gagal dimanfaatkan oleh barisan serangan Selangor apabila mereka berada pada kedudukan offside.

Minit ke-81, ‘Golden Boy’ Selangor, Amri Yahya berjaya meledak gol cantik hasil sepakan percuma dari sudut kanan gol yang menggegar gawang untuk mengikat kedudukan.

Di minit-minit akhir, di saat Selangor sedang ghairah mengasak pelawat, Wander Luiz hampir menjaringkan gol kedua Perak hasil hantaran lintang pemain sayap Rafiuddin Roddin.

Pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin akhirnya meniupkan wisel penamat untuk mengakhiri perlawanan yang dilihat dikuasai sepenuhnya oleh The Red Giants di babak kedua.

Selepas dua perlawanan terkini di laman sendiri berakhir dengan kemenangan, Selangor akhirnya terikat dengan keputusan seri 1-1 menentang pasukan Perak di Cheras.

Perak pula mensia-siakan peluang untuk meraih kemenangan pertama dalam 3 perlawanan di tempat lawan sebelum ini yang hanya menyaksikan mereka mengutip satu mata.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram