MPFL 2020: Syed Aizad Muncul Wira Kebangkitan Hebat Selangor

Selangor

Selangor MAC FC melakarkan kebangkitan dramatik selepas bangkit pada lewat permainan untuk mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2020 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.

Meskipun Selangor kelihatan mendominasi hampir keseluruhan aksi di babak pertama, tiada sebarang jaringan mampu dihasilkan juara bertahan itu apabila penjaga gol KL City FC, Dinesh Kunasingam kental bertahan bagi menghalang gawangnya dari dibolosi.

Penjaga gol Selangor, Azrul Hadee Mohd Taufiq pula yang sesekali diberikan ancaman terutamanya menerusi percubaan daripada pemain lincah, Wan Abdul Raziq Wan Zulhasmi, turut mempamerkan ketangkasannya.

KL City terlepas peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada lewat permainan apabila sepakan penalti kedua (Second Spot) yang diambil Efiezal Kamaruddin sekadar terkena tiang gol.

Selain daripada penguasaan permainan ditampilkan tuan rumah, kelincahan Wan Raziq juga seringkali menjadi antara yang mencuri tumpuan pada 20 minit pertama.

Sebaik sahaja memasuki separuh masa kedua, Selangor yang dibimbing Addy Shairullyzam itu terus mengawal permainan dengan cukup baik serta mencipta beberapa serangan berbahaya ke kubu KL City.

Dua percubaan yang dimiliki Saad Sani dan Danial Dain pada awal babak kedua juga tidak mampu untuk menewaskan Dinesh.

Ketika Selangor giat melancarkan serangan, KL City melonjak kegembiraan selepas Wan Abdul Raziq berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-30. Pemain kelahiran Kuala Terengganu bijak memintas hantaran Ekmal Shahrin dan kemudiannya melepaskan rembatan yang gagal dihalang Azrul Hadee.

Wan Abdul Raziq terus hampir mengukuhkan kedudukan berselang dua minit kemudian tetapi percubaannya serangan balas pantas yang dimulakan Yakish Rao terkena muka Azrul Hadee lalu bola terkeluar dari kawasan permainan.

Saidi Sharulaizat Saidi Ramlan menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-36 selepas beliau dengan mudah menolak masuk bola hasil hantaran daripada Hazim Ahmad Thajudeen.

Ketinggalan dua jaringan menyaksikan Addy Shairullyzam mula menggunakan taktikal ‘Power Play’ untuk mengurangkan defisit jaringan dan langkah itu nyata membuahkan hasil apabila Syed Aizad Daniel Syed Nasir menjaringkan gol pada minit ke-38. Jaringan tersebut terus meningkatkan moral para pemain Selangor untuk menambah jaringan yang menyaksikan Syed Aizad menyamakan kedudukan di minit ke-39.

Pemain skuad futsal kebangsaan itu muncul wira buat Selangor apabila ledakannya dari luar kawasan D tidak mampu dinafikan dengan baik Dinesh untuk menghadiahkan kemenangan dramatik 3-2 buat juara bertahan itu.

Kredit foto: FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram