MPFL 2020: Pulau Pinang Mahu Ketengah Bakat Amatur & Baru Futsal

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
futsal pulau pinang hasrinizam hashim mpfl 2020

Skuad futsal Pulau Pinang mahu lebih mengetengahkan bakat amatur dari negeri Pulau Mutiara itu selain akan lebih memberi peluang seimbang kepada semua pemain untuk bermain pada musim baharu nanti.

Itu adalah tekad yang dilaungkan oleh pengendali sementara, Hasrinizam Hashim ketika ditanyakan Semuanya BOLA mengenai kelainan yang bakal dibawa oleh Pulau Pinang pada MPFL 2020 nanti.

Musim baharu MPFL dijangka akan bermula pada pertengahan Mac 2020 dengan penyertaan empat pasukan baharu iaitu Sarawak, Kelantan, Negeri Sembilan dan KPM-PST Mustangs.

“Kita tidak akan tumpukan kepada hanya beberapa pemain musim ini dengan pasukan dijangka akan memiliki banyak pilihan pemain [yang boleh bermain],” ujar Hasrinizam Hashim.

“Beberapa bakat amatur juga akan diketengahkan disamping akan menonjolkan semangat juang yang tinggi pada musim ini,” tambahnya sambil memaklumkan sudah memiliki senarai pendek pemain.

Pulau Pinang juga sudah membuat sesi pemilihan pada 11 Januari lalu di Jeselball Alma, Bukit Mertajam yang dihadiri oleh hampir 140 pemain yang mahu mencuba nasib untuk bersama Harimau Kumbang.

Daripada sesi tersebut, Hasrinizam Hashim memaklumkan telah menyenarai pendek pemain untuk sesi terakhir yang telah dilangsungkan pada malam tadi di Kompleks Sukan Azman Hashim, USM.

CEO Al-Haddad Marketing Sdn Bhd. Foto: Mohd Hassan Mat Akhir

Antara pemain musim lalu yang turut kelihatan pada pemilihan kali ini di Bukit Mertajam tempohari adalah Amirul Ismail, Hanis Izzuddin, Redzuan Nawi, Ririn Amirudin dan kapten, Haziq Yusoff.

Turut dijangkakan akan bersama pasukan adalah beberapa pemain daripada Sarawak antaranya Iqhmal Najmie dan juga pemain yang pernah beraksi di MPFL 2019 bersama Pahang Rangers.

Hasrinizam Hashim menjelaskan walaupun masih belum ada pengumuman rasmi mengenai pengendali baharu Pulau Pinang untuk musim ini, beliau telah mengambil alih sesi pemilihan kali ini.

Musim lalu, Pulau Pinang dikendalikan oleh Abdul Gaffar Hoosen dan menamatkan musim di kedudukan kelapan daripada sembilan pasukan dengan 16 mata, 13 mata di depan pasukan tercorot, KL City.

“Kita berharap skuad Pulau Pinang kali ini akan dapat memberi saingan pada pasukan-pasukan yang menyertai MPFL 2020.

“Paling penting semua pemain yang dipilih dapat memberi komitmen dan persembahan terbaik untuk kembali menaikkan nama pasukan futsal Pulau Pinang,” jelasnya untuk misi musim ini.

Dalam perkembangan lain, skuad futsal Pulau Pinang akan mendapat tajaan daripada sebuah syarikat swasta, Al-Haddad Marketing Sdn Bhd bagi musim baharu nanti.