MPFL 2020: Negeri Sembilan Lakar Permulaan Positif Selepas Tumpaskan Perak

Negeri Sembilan

Kemunculan semula Negeri Sembilan dalam kancah futsal tertinggi tanah air bermula dengan langkah kanan selepas berjaya menundukkan Perak 4-3 pada aksi sulung Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2020 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.

Pemain Negeri Sembilan, Asyraff Abdul Jalal mencuri tumpuan pada perlawanan ini apabila beliau muncul sebagai pemain pertama yang mencipta hatrik dalam saingan yang sudah memasuki edisi kedua ini.

Ketika Negeri Sembilan giat melancarkan serangan ke kubu Perak pada awal permainan, Asyraff melonjakkan kegembiraan buat kem tuan rumah dengan tolakan yang menewaskan penjaga gol, Muhammad Syawal Sabaruddin.

Zharil Izad hampir memberikan kelebihan 2-0 buat Negeri Sembilan pada minit ke-10 tetapi peluang ketika pintu gol Perak terbuka luas gagal disudahkannya bagi sekaligus Zakry Asraf Roslan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Selepas itu, Perak yang mendapat bimbingan ketua jurulatih daripada Manchester, Damon Shaw memiliki beberapa peluang terbaik tetapi penjaga gol Negeri Sembilan, Syahman Idris kental mempertahankan gawangnya dari dibolosi.

Ketika aksi babak pertama semakin menghampiri penghujung, rembatan dari sebelah kiri pintu gol Perak tanpa disangka-sangka berjaya menewaskan Syawal untuk kelebihan 2-0 pada 20 minit pertama.

Memasuki babak kedua, aksi bertambah menarik apabila empat jaringan terhasil dan dimulakan dengan gol daripada Iqhmal Najmie Ismail pada minit ke-22 bagi merapatkan kedudukan.

Asyraff kemudiannya meledakkan jaringan ketiga buat Negeri Sembilan di minit ke-33 sekaligus melengkapkan hatriknya hasil satu serangan balas pantas yang dimulakan sendiri oleh beliau dari kawasan tengah.

Tidak mahu ditinggalkan terlalu jauh, Perak sekali lagi merapatkan jurang berselang seminit kemudian menerusi pemain import dari Turki, Touhid Lotfi selepas tendangan tonjol dilepaskannya tidak mampu dihalang Syahman.

Kealpaan bagaimanapun terus menghukum Perak setelah Tarmizi Ab Ghafar menjaringkan gol keempat buat skuad bimbingan Arasan Joseph pada minit ke-36. Ledakan jaringan Farikh Khabibor Rahman ketika aksi hanya berbaki dua saat untuk ditamatkan tidak mampu untuk menghalang kemenangan buat Negeri Sembilan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram