MPFL 2020: Masin Sungguh Mulut, Rezeki ‘Jersi Besar’ Shah Azman

Shah Azman Kuala Lumpur Pulau Pinang MPFL 2020

Pengendali skuad futsal Kuala Lumpur, Addie Azwan Zainal mendedahkan kepada Semuanya BOLA, peledak hatrik yang membantu skuadnya menundukkan Pulau Pinang 6-4, Shah Azman ada bergurau mengenai saiz jersinya yang terlalu besar.

Pemain bertubuh kecil berusia 22 tahun itu dilihat memakai jersi yang bersaiz besar dan menurut Addie Azwan, terdapat perbualan antara penolong jurulatih, Arif Hamidi dan Shah Azman di mana pemain tersebut mendedahkan petuanya untuk menjaringkan banyak gol.

“Hari itu dia menjadi. Kita nampak dia enjoy dan selesa masa lawan Pulau Pinang. Apa yang dia buat nampak menjadi,” ujar bekas pengendali skuad futsal wanita kebangsaan itu ketika ditanya pandangannya mengenai prestasi Shah Azman.

Shah Azman meledak ketiga-tiga golnya di babak pertama, di minit ke-3, ke-11 dan ke-17, sementara tiga lagi gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh Awaluddin Hassan, Mulhim Muqri dan jaringan menakjubkan oleh penjaga gawang, Azrin Adnan.

“Saya dapat tahu, dia ada satu petua, jika dia pakai jersi besar, dia akan jaring banyak gol. Sekali betul apa dia cakap,” cerita Addie Azwan sambil menekankan Shah Azman seorang yang fokus dan berdisiplin serta berjaya menyelesaikan arahan untuknya.

“Saya tidak pasti sama ada dia melawak ataupun tidak, tetapi memang jersi tersebut besar buat dia. Tetapi masin mulutnya, dia dapat jaring tiga gol,” tambahnya.

Ketika ditanyakan mengenai prestasi Kuala Lumpur, pengendali berpengalaman itu menjelaskan yang mungkin tuah lebih memihak kepada pasukannya.

“Mungkin disiplin kita lebih baik daripada Pulau Pinang. Mereka juga kembali dengan empat gol dan banyak peluang, cuma tiada tuah untuk mereka,” ujar Addie Azwan.

“Kita memang sudah nampak Pulau Pinang cuba bangkit, tetapi alhamdulillah, pemain fokus dengan arahan. Lawan ada tiga, empat peluang untuk jaringkan gol lepas gol keempat mereka. Tetapi tuah bukan di pihak mereka,” tambahnya lagi.

Shah Azman pernah menerima panggilan untuk bersama skuad kebangsaan kendalian Chiew Chun Yong dan merupakan salah seorang pemain skuad B-20 kebangsaan yang beraksi di Kejuaraan Futsal AFC B-20 pada 2017 di Bangkok.

KREDIT FEATURED IMAGE: KUALA LUMPUR FUTSAL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram