MPFL 2020 Dikuasakan Tujuh Rakan Penaja Rasmi

MPFL 2020

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam telah mengumumkan tujuh rakan penaja rasmi bagi memperkasakan musim kedua Malaysia Premier Futsal League (MPFL) iaitu MPFL 2020 yang bakal membuka tirai saingannya pada hujung minggu ini, 14 dan 15 Mac 2020.

Empat rakan penaja dari edisi sulung MPFL 2019 telah meneruskan komitmen mereka untuk bersama-sama FAM bagi menjayakan MPFL 2020 ini dengan disertai oleh tiga rakan penaja baharu bagi musim kedua ini.

Yoodo kekal sebagai Telekomunikasi Digital Rasmi seperti mana pada musim 2019 dan kali ini berperanan juga sebagai Penyiar Digital Rasmi; Joma sebagai Bola Rasmi, 100PLUS sebagai Air Minuman Rasmi manakala Astro sebagai Penyiar Rasmi.

Sementara tiga rakan penaja baharu bagi MPFL 2020 ini terdiri daripada Firefly sebagai Rakan Penerbangan Rasmi, Kaki Jersi sebagai Rakan Pakaian E-dagang Rasmi dan Cuckoo sebagai Rakan Penapis Air & Udara Rasmi.

Naib Presiden FAM, Datuk Haji Rosmadi Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM jelas gembira dengan kesediaan penaja-penaja musim 2019, terutamanya Joma sebagai Rakan Penaja Bola Rasmi MPFL musim lalu yang telah melanjutkan penajaan mereka bagi musim kedua ini.

Pemain Kuantan Rangers, Farhan Khairul Anuar cuba melepasi kawalan kapten Perak, Shamar Fadzil pada aksi MPFL 2019 yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

“Kemeriahan edisi sulung MPFL 2019 telah membuatkan rakan-rakan penaja kita ini semuanya bersetuju untuk menyambung penajaan mereka bagi musim kedua iaitu MPFL 2020 ini. Mereka berpuas hati apabila jenama mereka turut sama dipaparkan pada setiap perlawanan MPFL 2019.

“Kami di FAM sangat berterima kasih dengan sokongan yang diberikan oleh Joma untuk terus bersama MPFL 2020. Begitu juga Yoodo yang telah meningkatkan jumlah penajaan mereka pada musim 2020 ini berbanding daripada musim lalu. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka telah nampak yang MPFL ini mampu memberikan nilai tambah kepada produk dan jenama mereka.

“Selamat datang juga diucapkan kepada tiga rakan penaja baharu iaitu Firefly, Kaki Jersi dan Cuckoo. Diharap kehadiran mereka ini akan dapat menghangatkan lagi saingan musim kedua MPFL pada tahun 2020 ini,” kata Datuk Haji Rosmadi.

Saingan yang dijangka semakin sengit itu menyaksikan tambahan tiga lagi pasukan baharu bagi menjadikan kesemua 12 pasukan yang bakal bertarung hebat merebut kejuaraan paling berprestij dalam arena futsal di tanah air.

Selangor MAC muncul juara sulung selepas menamatkan saingan 2019 dengan mengumpul 41 mata, tujuh mata meninggalkan Pahang Rangers di tempat kedua manakala Terengganu menghuni tangga ketiga.

Berikut adalah jadual perlawanan bagi aksi pembukaan pada Sabtu dan Ahad ini:

Kredit foto: Football Association of Malaysia (FAM)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram