MPFL 2019: Semangat Luar Biasa Skuad Muda Melaka United Hampakan Kedah

Melaka

Melaka menjelmakan kebangkitan hebat untuk merakamkam kemenangan kedua dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 selepas menundukkan Kedah dengan keputusan 4-3 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam, sebentar tadi.

Meskipun aksi yang dipamerkan kedua-dua pasukan sedikit perlahan, Kedah bijak menggunakan peluang terhidang untuk mencipta dua jaringan pada babak pertama.

Gol pendahuluan skuad bimbingan Samsul Abd Latif itu menjelma pada minit kesembilan menerusi Mohd Norhamidrul Salleh.

Mohammad Shahmi Abdullah Sani yang mengawal bola dengan baik di sebelah kanan pintu gol Melaka melakukan hantaran kepada Norhamidrul yang kemudiannya terus meledakkan rembatan bagi menewaskan penjaga gol Melaka, Syahman Idris.

Dua minit berselang, Kedah menambah jaringan kedua apabila Shahmi dengan tenang menolak masuk bola susulan hasil percubaan Khairul Affandi Azaimi yang terlebih dahulu terkena tiang gol.

Melaka yang masih segar dengan kemenangan minggu lalu terus tersentak selepas Anwar Osman melakukan rembatan padu dari jarak jauh yang menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-24.

Tidak mahu ditinggalkan dengan lebih jauh, para pemain Melaka United memperkemaskan aksi bagi mengurangkan defisit jaringan.

Ternyata ketinggalan tiga jaringan langsung tidak mematahkan semangat juang anak buah Mohd I’sah Abd Rahim itu.

Kebangkitan mereka bermula pada minit ke-27 hasil rembatan jarak jauh dilepaskan pemain futsal bawah 20 tahun kebangsaan, Muhd Erzuan Gapar.

Erzuan hanya memerlukan seminit untuk menjaringkan gol kedua peribadinya pada perlawanan ini juga menerusi satu rembatan yang menewaskan penjaga gol Kedah, Muhamad Umir Asyraf Zainon.

Kesungguhan Melaka United terbalas setelah Muhd Saad Abd Sani kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-33.

Ketika perlawanan kelihatan bakal berkesudahan dengan keputusan seri dan hanya berbaki dua minit, Muhammad Ekmal Shahrin muncul wira buat Melaka selepas beliau berjaya menyempurnakan sepakan penalti ‘second spot’ untuk menghadiahkan kemenangan kedua buat Melaka United.

Kekalahan ini pula merupakan kekalahan pertama buat Kedah selepas seri pada dua perlawanan terdahulu bertemu Terengganu FC dan Perak.

Pemain terbaik perlawanan: Muhd Saad Abd Sani (Melaka United)

Kredit foto: Suffi Sahar I Tigers Super Sports

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN