MPFL 2019: Pulau Pinang Raih Kemenangan Sulung, Bergaya Atasi KL City FC 7-5

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Pulau Pinang

Pulau Pinang memulakan saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL 2019) dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan KL City FC 7-5 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam, sebentar tadi.

Seperti kebiasaan dalam sukan futsal, corak permainan saling berbalas serangan dapat disaksikan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil.

KL City FC yang dibimbing bekas pemain futsal kebangsaan, Jerry Dinesh Pireira terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi pemain muda, Muhammad Amirul Izwan Amrulnizam.

KL City FC

Amirul yang tidak dikawal pemain Pulau Pinang dengan tenang menolak masuk bola setelah menerima hantaran dari sebelah kiri pintu gol dilakukan Iza Muhammad Hassan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Pulau Pinang memperkemaskan aksi dan kembali menyamakan kedudukan berselang dua minit kemudian hasil jaringan Muhammad Nur Azfar Nor Azli Yaacob.

Hanya seminit kedudukan terikat, Jaya Prakash Rao kembali meletakkan KL City di depan selepas rembatannya dari luar kawasan D lawan terus menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Mohamad Idham Osman.

Permainan semakin menarik apabila Pulau Pinang memadam kelebihan tersebut tidak sampai seminit KL City meraikan jaringan mereka.

Jaringan kedua Pulau Pinang itu terhasil kombinasi Iqhmal Najmie Ismail dan Muhammad Syafiq Abdul Rasyid berjaya disudahkan Syafiq yang melakukan percubaan melepasi celah kaki penjaga gol, Dinesh Kunasingam.

Ketika aksi babak pertama hanya tinggal dua minit untuk ditamatkan, ketua pasukan KL City FC, Muhammad Muzhaffar melakukan gerakan solo dari sebelah kanan untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Memasuki separuh masa kedua, Pulau Pinang menjelmakan kebangkitan yang cukup hebat apabila berjaya mencipta tiga jaringan dalam tempoh lima minit.

Ia bermula dengan gol penyamaan pada minit ke-22 menerusi Azfar yang merupakan jaringan peribadi kedua buat beliau pada perlawanan ini.

Dengan situasi lebih kurang sama seperti gol oleh Azfar itu, Muhammad Haziq Mohd Yusoff menjaringkan gol keempat selepas menolak mudah bola hantaran lintang daripada Iqhmal Najmie pada minit ke-25.

Pulau Pinang

Iqhmal Najmie yang merupakan pemain skuad bawah 20 tahun kebangsaan membuktikan kelebihan rembatan dimiliki selepas dua rembatannya menerusi sepakan percuma di minit ke-26 dan 33 berjaya menembusi penjaga gol gantian, Umar Shafiz Samsuri.

KL City yang cukup tertekan bagi mendapatkan jaringan melakukan taktikal ‘powerplay’ iaitu bermain tanpa penjaga gol dan lima pemain beraksi di atas.

Taktikal Jerry Dinesh itu jelas memakan diri pada minit ke-34 apabila Hanis Izzudin Abdul Latif menggunakan kesempatan tersebut bagi menambah jaringan ketujuh buat Pulau Pinang.

Tidak menghiraukan keputusan semasa, KL City terus menggandakan asakan dalam usaha merapatkan kedudukan.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila berjaya merapatkan jurang menerusi dua jaringan pdada minit ke-34 dan 40. Dua gol tersebut dihasilkan oleh Muzhaffar dan Aqim Mohamad Salihuddin .

Namun, ia masih belum cukup untuk menghalang kemenangan 7-5 yang memihak Pulau Pinang untuk meraih tiga mata pada dalam saingan MPFL 2019.

Pemain terbaik perlawanan: Iqhmal Najmie Ismail (Pulau Pinang)