MPFL 2019: Perak Ledak 5 Gol Di Babak Kedua Untuk Benam Cabaran Pulau Pinang

Awalluddin Nawi Perak Futsal

Pertembungan antara Pulau Pinang dan Perak dalam aksi minggu ke-7 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 menyaksikan Perak berjaya menewaskan tuan rumah dengan keputusan 8-3 di Kompleks Sukan Azman Hashim USM, sebentar tadi.

Ia merupakan kemenangan kedua Perak untuk saingan musim pertama ini dan telah berjaya mengumpul 8 mata serta telah memintas kedudukan ke-4 Pulau Pinang yang meraih 7 mata.

Kekalahan ini menambah duka buat penyokong mereka hari ini selepas skuad bola sepak Pulau Pinang ditolak 6 mata seterusnya gagal meraih promosi ke Liga Super pada musim hadapan.

Babak pertama menyaksikan penguasaan penuh ditonjolkan tuan rumah dan Pulau Pinang telah mengasak seawal minit pertama namun percubaan Haziq Yusoff terkena palang gol pelawat.

Begitupun, Perak terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Awalluddin Nawi untuk menewaskan Idham Osman pada minit ke-4. Ini adalah gol ke-4 peribadinya dalam saingan liga musim ini.

Idham Osman sekali lagi tertewas pada minit ke-6 apabila Firdaus Zulkefli berjaya menampan mudah selepas menerima hantaran Awalluddin Nawi untuk Perak mendahului perlawanan dua gol.

Minit ke-8, hasil pertukaran beberapa pemain, Pulau Pinang berjaya menyusun asakan dan Syawal Sabaruddin tertewas untuk gol pertama tuan rumah menerusi tampanan mudah Hanis Izzuddin selepas menerima hantaran kapten, Haziq Yusoff.

Beberapa minit kemudian, Syawal Sabaruddin berjaya membuat tiga saves penting untuk menyelamatkan gawangnya menerusi asakan-asakan pantas dan sepakan penjuru oleh Pulau Pinang.

Pelawat langsung tidak diberikan kesempatan untuk mengatur asakan dan dominasi permainan yang baik dipamerkan oleh Pulau Pinang namun masih gagal untuk mengikat kedudukan.

Dalam kerancakan mengasak, kelekaan tuan rumah di bahagian benteng menyaksikan hasil gerakan dua pemain iaitu Zamiruddin Jalaluddin dan Razin Rahim berjaya disudahkan dengan tandukan mudah oleh Zamiruddin Jalaluddin pada minit ke-17.

Tidak menunggu lama, seminit kemudian, selepas menerima hantaran jauh rakan sepasukan, Amirul Ismail akhirnya berjaya meledak gol ke-2 Pulau Pinang dan gol keempatnya musim ini.

Perak tampil lebih tersusun di babak kedua dan berjaya meledak gol ke-4 pada minit ke-24 menerusi Ridzwan Bakri selepas pemain Pulau Pinang terlepas kawalan bola di hadapan gawang sendiri.

Ia jelas merentap semangat tuan rumah untuk bangkit mengejar apabila kelihatan dominasi semakin berkurangan dan hantaran-hantaran juga kian gagal menemui rakan sepasukan. Hasilnya, Perak dilihat semakin bernafsu dan berjaya meledak 4 gol.

Sejurus gol itu, Ridzwan Bakri menonjolkan kelincahannya untuk mengatur asakan ke kubu Pulau Pinang apabila melepasi beberapa pemain sebelum dikecewakan oleh sentuhan akhir Haiqal Danial.

Pulau Pinang dilihat kian tertekan apabila Awalluddin Nawi berjaya menambah gol kedua peribadinya pada malam ini dan juga gol ke- 5 Perak di minit ke-27 selepas menerima hantaran Ridzwan Bakri.

Dua minit kemudian, hasil serangan pantas dan hantaran Razin Rahim, Zakry Asraf berjaya meledak gol ke-6 pelawat sebelum Aidil Shahril pula muncul menjaringkan gol ke-7 pada minit ke-33.

Menutup malam indah pelawat adalah jaringan kedua peribadi oleh Zamiruddin Jalaludin pada minit ke-38 sebelum Pulau Pinang menjaringkan gol ketiga mereka menerusi Azierul Joss.

Biarpun merekod kemenangan bergaya ke atas Pulau Pinang, Perak masih gagal untuk memintas Terengganu di kedudukan ketiga walaupun terikat 8 mata. Terengganu berkelebihan perbezaan gol.

Pemain terbaik perlawanan: Awalluddin Nawi

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN