MPFL 2019: Penantian Kemenangan Kedah Berakhir, Tundukkan Kuala Lumpur 2-0

Kedah

Penantian Kedah untuk mencatatkan kemenangan sulung dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 berjaya dinoktahkan selepas menundukkan Kuala Lumpur 2-0 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.

Kedah yang masih belum menikmati sebarang kemenangan selepas empat perlawanan sebelum ini serta berada di dasar liga, jelas bijak menggunakan kesempatan yang terhidang walaupun Kuala Lumpur dilihat lebih menguasai permainan.

Ia terbukti selepas dua jaringan berjaya dihasilkan skuad Lang Merah pada babak pertama menerusi Mohd Aizat Aizuddin Meli dan Muhammad Nazren  Ramli.

Ketika Kuala Lumpur giat melancarkan serangan, Kedah mengejutkan tuan rumah pada minit ketujuh selepas Aizat dengan tenang menolak masuk bola hantaran lintang dilakukan Muhammad Amirul Syazwan Abdul Manaf.

Kedah yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Samsul Abd Latiff melebarkan kedudukan menjadi 2-0 berselang tiga minit kemudian.

Nazren Ramli meledakkan rembatan padu dari jarak jauh hasil gerakan solo dilakukannya dari sebelah kiri pintu gol Kuala Lumpur yang gagal dihalang penjaga gol, Muhamad Hazwan Abdullah.

Tempo permainan semakin menarik untuk disaksikan pada babak kedua terutamanya Kuala Lumpur yang ghairah menyusun gerakan berbahaya ke kubu Kedah.

Penjaga gol Kedah, Muhamad Umir Asyraf Zainon nyata menjadi watak utama disebalik kegagalan Kuala Lumpur menjaringkan sebarang gol pada perlawanan ini.

Beliau dengan cemerlang menangkis setiap asakan berbahaya yang diledakkan kearahnya sekaligus dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan sulung buat Kedah bagi mengumpul lima mata hasil satu kemenangan, dua keputusan seri dan dua kekalahan.

Pemain terbaik perlawanan: Muhamad Umir Asyraf Zainon (Kedah)

Kredit foto: Futsal Kedah Official

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram