MPFL 2019: Pahang Rangers Mulakan Langkah Kemenangan Selepas Benam Kuala Lumpur 4-2

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Tiga mata berjaya diraih Pahang Rangers selepas menundukkan Kuala Lumpur 4-2 pada aksi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL 2019) yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam, sebentar tadi.

Pahang yang dibarisi tujuh pemain kebangsaan pada perlawanan ini merupakan calon utama untuk mengutip tiga mata penuh malah turut dilabel sebagai antara pasukan pilihan juara.

Bertepatan dengan status tersebut, Pahang dilihat lebih mendominasi permainan dengan kawalan bola menarik dalam usaha memburu jaringan.


Namun, ia tidak menghalang skuad muda Kuala Lumpur dari memberikan saingan  hebat buat pasukan pilihan tersebut.

Pahang Rangers bagaimanapun hanya memerlukan lima minit untuk berada di hadapan apabila Mahadir Harahap Khairuddin mengambil kesempatan diatas kesilapan Nazrin Ashraf Md Radzi dalam kawasan Kuala Lumpur.

Mahadir yang juga merupakan pemain futsal bawah 20 tahun kebangsaan melepaskan rembatan yang berjaya menewaskan penjaga gol, Mohd Alif Haiqal Mohd Zaini.

Pahang Rangers

Ketangkasan penjaga gol Pahang Rangers, Mohd Afiq Abdul Rahman menghampakan kem Kuala Lumpur apabila beberapa percubaan menarik dilancarkan berjaya dinafikannya.

Kedudukan berubah pada minit kesembilan setelah Abu Haniffa Hassan menjadikan kedudukan 2-0 apabila lorongan Mohd Azwann Ismail disudahkan Abu untuk melebarkan penguasaan buat Pahang.

Usaha Kuala Lumpur yang sesekali mendapat peluang membuahkan hasil pada minit ke-18 berikutan serangan balas pantas dimulakan Muhammad Hikmal Firdaus.

Mulhim Muqri Faisal yang meluru pantas ke hadapan pintu gol Pahang tidak melepaskan peluang bagi merapatkan kedudukan.

Aksi babak kedua bersambung menyaksikan pemain kebangsaan, Saiful Nizam Mohd Ali menggandakan kedudukan buat Pahang di minit ke-23.

Selepas itu, Pahang Rangers yang dibimbing Taufik Yahyah terus mendominasi permainan di ketika para pemain Kuala Lumpur seperti kehilangan idea untuk mencipta gerakan.

Pahang

Muhammad Farhan Khairul Anuar melepaskan rembatan padu dari luar kawasan D untuk menghadiahkan gol keempat buat Pahang pada minit ke-35.

Kuala Lumpur cuba untuk bangkit dengan jaringan kedua berselang dua minit kemudian. Mulhim Muqri sekali lagi meletakkan nama penjaring buat Kuala Lumpur.

Keputusan 4-2 itu bagaimanapun kekal hingga tamat permainan untuk tiga mata berharga diraih pasukan pilihan tersebut.

Pemain terbaik perlawanan: Saiful Nizam Mohd Ali (Pahang)