Mora Sudah Tilik Permainan Ratchaburi FC, Yakin Cipta Kemenangan

Benjamin Mora JDT Ratchaburi ACL 2021

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora yakin skuadnya mampu raih tiga mata pertama dalam aksi AFC Champions League (ACL) berdepan Ratchaburi FC.

Ratchaburi menjadi lawan kedua JDT selepas mereka tunduk 0-1 kepada wakil Jepun, Nagoya Grampus pada Selasa. Ratchaburi juga dalam misi yang sama, memburu mata pertama selepas tewas 0-2 kepada wakil Korea Selatan, Pohang Steelers.

Ini menjadikan pertembungan pertama antara kelab Malaysia-Thailand di peringkat kumpulan ACL bertambah hangat. Menurut Mora, beliau sudah mengkaji aksi antara Ratchaburi dan Pohang Steelers. Dan beliau yakin dengan kemampuan skuadnya.

Ujarnya dalam sidang media pra perlawanan semalam, “Saya yakin kami ada peluang [untuk menang]. Kami sudah lihat video [aksi] mereka dan juga perlawanan berdepan Pohang Steelers. Jadi, saya lihat, peluang itu ada untuk kami cipta sesuatu. ”

Ratchaburi yang menamatkan saingan Thai League musim lalu di kedudukan ke-8 itu tewas 0-2 kepada Pohang Steelers menerusi jaringan dua pemain baharu mereka, iaitu penyerang import, Borys Tashchy dan juga pemain sayap kiri, Lim Sang-hyub.

“Tahap Liga Malaysia dan Thai League tidak banyak berbeza, tetapi standard liga mereka sedikit tinggi. Kami boleh bersaing dengan kelab-kelab mereka. Aksi Ratchaburi seperti beberapa pasukan yang kami telah hadapi di Malaysia.

“Aksi kami berdepan Nagoya tempohari agak baik, malangnya, mereka lebih kuat. Kami telah tutup kisah itu dan melihat kepada aksi berdepan Ratchaburi,” jelasnya.

JDT hampir mengikat kelab ketiga terbaik musim lalu di J-League itu, namun jaringan tunggal Hiroyuki Abe pada minit ke-60 telah memusnahkan hasrat mereka.

“Kami tidak mahu hanya turun ke padang untuk menunjukkan muka kami. Saya mahu pemain-pemain saya bekerja sehabis baik. Kemenangan dalam aksi kedua akan memberi kita dorongan untuk lebih berjaya dalam kempen ini,” tambahnya.

Bakal berdepan wakil Thailand buat kali pertama di peringkat kumpulan ACL, apa yang mampu JDT berikan? Untuk rekod, sebelum berjaya melangkah ke peringkat kumpulan ACL, JDT sudah beberapa kali berdepan wakil Thailand di pusingan kelayakan ACL.

Empat tahun wakil Malaysia, JDT berdepan wakil Thailand dan apakah nasib mereka?

Pada 2015, JDT tumbang 0-3 kepada Bangkok Glass di pusingan kedua kelayakan sebelum turun untuk bersaing di Piala AFC dan seterusnya memenangi kejohanan tersebut buat kali pertama. Walaupun gagal, trofi Piala AFC adalah tonik terbaik.

Tahun berikutnya, mereka berjaya mengikat naib juara Thai Premier League (kini Thai League 1), Muangthong United dengan keputusan tanpa jaringan sehingga ke masa tambahan sebelum JDT akhirnya tumpas 0-3 menerusi sepakan penalti.

Edisi 2017, di pusingan kedua kelayakan, JDT akhirnya menang menerusi sepakan penalti dan kali ini kepada Bangkok United dengan keputusan 5-4. Dalam aksi yang diheret sehingga ke masa tambahan, kedua-dua pasukan terikat dengan 1-1.

Dan pada 2018, mereka bertembung sekali lagi dengan wakil Thailand, Muangthong United di pusingan kedua kelayakan, namun kali ini, Harimau Selatan tewas dengan keputusan lebih besar iaitu 2-5 dalam aksi yang berlangsung di Bangkok.

Ratchaburi tiada pengalaman di saingan Asia termasuklah di Piala AFC. Ini kerana, sepanjang bersaing di pentas tertinggi liga sejak 2013, mereka hanya menamatkan musim di kedudukan pertengahan – tertinggi adalah ke-4 pada musim 2014.

Baca lagi artikel lain mengenai JDT:

Arif Aiman, Pemain Muda Tempatan Yang Telah ‘Tolak’ Cabrera Ke Tepi

5 Perkara Dari Kekalahan JDT Kepada Nagoya Grampus

Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply