Quantcast

BERITA

Mongolia Ada Ramuan Kejutkan Skuad Harimau Malaya Malam Ini

Walaupun skuad kebangsaan Mongolia berada di kedudukan ranking FIFA ke 189 dunia, ia bukan bermakna pasukan itu boleh dipandang mudah oleh skuad Harimau Malaya.

Di atas kertas, skuad Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe tampak lebih kuat kali ini tetapi bagi pengendali Mongolia, Micheal Weiss beliau ada ramuan rahsia untuk menewaskan Malaysia pada aksi persahabatan kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Wiess berkata demikian kepada Berita Harian, beliau yang sebelum ini melatih pasukan kebangsaan Filipina mempunyai banyak pengalaman bertemu skuad Malaysia.

“Walaupun memiliki beberapa maklumat mengenai skuad kebangsaan dan bola sepak Malaysia juga tidak asing buat saya, tetapi agak sukar saya membuat jangkaan mengenai perancangan mereka nanti.

“Tambahan pula mereka ada dua adik beradik Sepanyol (Natxo dan Kiko Insa) serta pertahanan kiri baharu, La’Vere Corbin Ong, jadi itu membuatkan Malaysia menjadi pasukan pilihan dalam perlawanan esok.

“Bagaimanapun, kita ada menjalankan beberapa kajian khususnya membabitkan perlawanan terbaru Malaysia ketika menentang Korea Utara dan Hong Kong, baru-baru ini.

“Apapun, persiapan sudah dijalankan dan yang penting pemain memberi idea serta tidak bergantung kepada hantaran jauh sekali gus tidak memberi laluan mudah kepada pasukan lawan,” katanya.

Weiss bersalaman dengan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe. FOTO: FAM

Sementara itu, kapten Mongolia, Turbat Daginna mendedahkan pasukannya sebenarnya dibarisi oleh pemain semi professional kerana kebanyakan mereka bermain bolasepak sebagai hobi semata-mata.

“Pasukan kami dibarisi pemain semi profesional. Ada pemain kami yang masih lagi belajar dan ada yang sekadar menjadikan bola sepak sebagai hobi mereka.

“Mongolia kini sedang mengalami musim sejuk, jadi kita tidak dapat berlatih dengan sempurna. Mujurlah kami sempat menjalani latihan di China selama dua minggu dan kami yakin dengan persiapan yang dilakukan setakat ini,” katanya