Monaco 8-3 Deportivo: Malam Dado Prso Sambut Hari Lahir Dengan 4 Gol

Kemenangan 8-3 AS Monaco ke atas Deportivo La Coruna merupakan salah satu perlawanan UEFA Champions League klasik yang wajar dikenang.

Perlawanan yang berlangsung pada 5 November 2003 ini memecah rekod perlawanan Champions League sebagai perlawanan yang mencatatkan gol paling banyak dalam satu perlawanan.

Sebelum perlawanan bersejarah ini berlangsung, rekod tersebut dipegang oleh Paris St-Germain yang membelasah Rosenborg 7-2 pada tahun 2002.

Kini rekod tersebut telah pun dipecah dan dipegang oleh Borussia Dortmund. Pada tahun 2016, Dortmund menewaskan Legia Warszawa 8-4.

Kedua-dua pasukan bukan calang-calang

Perlawanan ini merupakan perlawanan kumpulan C. Selain Monaco dan Deportivo, dua lagi pasukan yang menghuni kumpulan C tersebut adalah PSV Eindhoven (yang pada ketika dibintangi Arjen Robben) dan AEK Athens (yang dibintangi oleh Kostas Katsouranis).

AS Monaco pada ketika itu mungkin bukan pasukan pilihan dalam Champions League. Tetapi mereka tetap dibarisi oleh pemain-pemain berkualiti. Antaranya adalah Patrice Evra, Ludovic Giuly, Jaroslav Plasil, Jerome Rothen dan penyerang antarabangsa Croatia, Dado Prso.

Di bangku simpanan Monaco pada ketika ada Emmanuel Adebayor dan hero penjaga gol Senegal semasa Piala Dunia 2002, Tony Sylva. Fernando Morientes pula terpaksa diketepikan kerana kecederaan.

Deportivo La Coruna juga bukan calang-calang pasukan. Siapa boleh lupakan Diego Tristan, Lionel Scaloni, Juan Carlos Valeron, Jorge Andrade dan Walter Pandiani?

Kedua-dua pasukan layak ke Champions League selepas menunjukkan persembahan cemerlang di peringkat liga domestik.

Monaco layak selepas bergelar naib juara liga di belakang Lyon pada musim 2002/2003.

Deportivo menghuni tangga ketiga LaLiga di belakang juara Real Madrid dan Real Sociedad (Barcelona di tangga keenam pada musim ini).

Monaco tempang sebelum perlawanan

Sebelum perlawanan, Monaco sebenarnya tempang apabila Morientes tidak dapat diturunkan. Biasanya di liga, pengurus Didier Deschamps akan menggandingkan penyerang pinjaman dari Real Madrid ini dengan Emmanuel Adebayor dalam formasi 4-4-2.

Tetapi ketiadaan Morientes bermakna Dado Prso yang biasanya di bangku simpanan perlu bermula sebagai kesebelasan utama.

Pasangan serangannya pula adalah Giuly yang biasanya bermain di bahagian sayap.

Sementara itu Deportivo pula seperti biasa menurunkan duo serangan berbisa mereka – Tristan sebagai penyerang utama dan Valeron sebagai pemain no.10.

Pertahanan Deportivo tembak kaki sendiri

Seawal minit kedua, Deportivo sudah membuat kesilapan apabila bek kanan Manuel Pablo gagal mengawal kemas hantaran jauh Lucas Bernardi untuk memberi ruang Rothen menjaringkan gol pertama perlawanan.

Ketinggalan 0-1, pengurus Deportivo Javier Irureta mengarahkan anak buahnya memasang garisan defensif tinggi untuk menekan pertahanan tuan rumah.

Tetapi sebaliknya berlaku apabila Giuly memanfaatkan ruang besar di belakang pertahanan Deportivo untuk mejaringkan gol kedua Monaco.

Prso kemudiannya membuka akaun jaringannya pada malam itu dengan menanduk sepakan penjuru 15 minit selepas gol Giuly. Empat minit kemudian Prso mendapat gol kedua – juga melalui tandukan.

Tristan dan Scaloni cuba menghidupkan semangat kebangkitan pelawat menerusi dua gol pada hujung separuh masa pertama. Tetapi sebelum rehat, Prso sudah melengkapkan hatriknya hasil kerja keras Giuly.

Tiba separuh masa kedua, Deportivo membuat pertukaran penjaga gol. Jose Francisco Molina yang sudah bolos lima gol diganti oleh Gustavo Munua. Tetapi secara jujurnya pertukaran ini tidak membawa apa-apa impak.

Kali ini giliran Plasil pula menghukum kesilapan Munua yang gagal mengeluarkan bola dengan baik untuk gol keenam Monaco.

Prso kemudiannya menambah gol keempatnya selepas menerima hantaran lintang kiri dari Rothen. Empat gol pada hari lahir ke-29, itu pastinya hari lahir terbaik pernah penyerang Croatia ini terima.

Morientes yang berada di bangku penonton bersama seorang lagi penyerang Real Madrid, Raul Gonzalez menyambut kejayaan Prso dengan tepukan hormat.

Fernando Morientes membawa Raul Gonzalez menonton perlawanan AS Monaco menentang Deportivo pada malam bersejarah tersebut.

Tristan menambah gol Deportivo tidak lama selepas Prso meraikan jaringan keempatnya menerusi gelecekan persis pakar. Tetapi Edouard Cisse melengkapkan malam gemilang Monaco dengan gol kelapan.

Monaco ke perlawanan akhir

Sebulan selepas perlawanan bersejarah ini, Monaco dan Deportivo masing-masing berjaya layak ke pusingan kalah mati Champions League dari kumpulan ini.

Deportivo berjaya mara sehingga peringkat separuh akhir. Selepas berjaya menewaskan Juventus dan AC Milan, mereka ditewaskan oleh Porto yang kemudiannya menjadi juara.

Monaco pula mara ke perlawanan akhir untuk bertemu Porto selepas menumbangkan Lokomotiv Moscow, Real Madrid dan Chelsea dalam laluannya.

Dalam perlawanan akhir, Monaco tewas 0-3 untuk memberi kejuaraan Champions League kedua buat Porto – dan yang pertama untuk Jose Mourinho.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai AS Monaco:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN