Mohammed Salim: Pemain India Pertama Yang Bermain Di Eropah, Dengan Berkaki Ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Salah satu mitos paling terkenal dalam bola sepak adalah:

India pernah layak ke Piala Dunia 1950, tetapi tidak dibenarkan bertanding kerana pemain-pemain mereka mahu berkaki ayam ketika bermain.

Cerita ini tidak benar. Cerita sebenarnya adalah, India memilih untuk tidak menyertai Piala Dunia 1950 kerana mereka tak mampu menanggung kos penerbangan dan penginapan, menyedia dan melatih pasukan tepat pada masanya.

Pada ketika itu juga, India juga lebih mementingkan prestij sukan Olimpik berbanding Piala Dunia pada ketika itu.

Tetapi ada satu fakta tentang India dan kegemaran mereka berkaki ayam ketika bermain bola sepak yang benar.

Pada 1936, pemain sayap mereka, Mohammed Salim pernah bermain untuk Celtic. Dan ketika beraksi untuk Celtic, Mohammed Salim hanya berkaki ayam ketika lawannya semua memakai but.

(Sumber: theshamrockglasgow.wordpress.com)
(Sumber: theshamrockglasgow.wordpress.com)

“Orang India tak cukup jantan untuk merdeka”

Mohammed Salim dilahirkan di Kolkata, India pada tahun 1904 – ketika zaman kemuncak penjajahan British di India.

Ketika usianya baru menginjak 22 tahun, Salim menyertai gerakan nasionalisme India yang menentang penjajahan British dan idea British yang mengatakan ‘orang India tak cukup jantan untuk memerintah negara sendiri’.

Ketika pemuda India lain memilih arena politik untuk menunjukkan semangat nasionalisme mereka, Salim memilih sukan orang British sendiri, bola sepak.

Kelab bola sepak pertama yang disertai Salim adalah Chittaranjan FC yang diasaskan oleh sekumpulan nasionalis kelas pertengahan Bengali.

Kelab bola sepak ini ditubuhkan sebenarnya ditubuhkan atas tujuan politik – iaitu untuk mengalahkan pasukan bola sepak penjajah British dalam sukan kegemaran mereka sendiri. Sama seperti kelab-kelab kriket yang pesat ditubuhkan di serata India.

Menjadi pemain paling hangat di pasaran

Selepas Chittaranjan FC, Salim – pemain yang beragama Islam – dipikat bermain untuk pasukan B kelab bola sepak yang eksklusif untuk pemain Islam Kolkata, Mohammedan SC.

Bakat besar Salim kemudiannya dikesan oleh banyak kelab-kelab lain di India. Dalam masa 8 tahun, beliau bermain untuk Sporting Union, East Bengal FC dan Aryans FC sebelum kembali ke Mohammedan SC semula.

Menukar status kelab serta-merta

Selepas kembali ke Mohammedan SC, Salim terus diberi peluang bermain untuk pasukan utama sebagai penyerang kanan. Di sana, Salim membantu pasukannya menjadi pasukan anak tempatan pertama yang menjuarai liga yang sebelum ini didominasi pasukan askar British.

Beliau juga membantu pasukannya memenangi 5 kejuaraan liga Kolkata berturut-turut. Dari tahun 1934 hinggalah ke tahun 1938.

Salim, berdiri dua dari kiri (Sumber: theshamrockglasgow.wordpress.com)
Salim, berdiri dua dari kiri (Sumber: theshamrockglasgow.wordpress.com)

Diajak mencuba nasib ke Eropah

Selepas membantu pasukannya menjuarai liga pada 1936, Salim dijemput untuk bermain dalam 2 perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik China.

Perlawanan pertama sebagai pemain All India XI dan perlawanan kedua sebagai pemain gabungan pasukan staf kerajaan dan tentera India.

Dalam perlawanan pertama, All India XI tewas tipis kepada skuad Olimpik China. Tetapi persembahan Salim mendapat perhatian ketua jurulatih China, penonton di stadium dan saudaranya yang bernama Hasheem.

Beberapa hari sebelum perlawanan kedua menentang skuad Olimpik China, Hasheem yang bekerja di England membawa lari Salim ke London dan Glasgow untuk mencuba nasib bermain bola sepak di sana.

Semua kelab bola sepak di London menolak permohonan Hasheem untuk membawa Salim ke trial. Dalam era di mana majoriti orang England masih bersikap racist, ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Usaha Hasheem akhirnya membuahkan hasil ketika mereka di Glasgow.

Menjadi pemain Celtic

Ketika menonton perlawanan Celtic di Celtic Park, Salim hairan apabila Hasheem memberitahunya semua pemain Celtic adalah pemain profesional.

Bagi Salim, tahap skill dan kemahiran teknikal pemain profesional Celtic adalah biasa-biasa saja. Tak jauh beza dengan skil dan kemahirannya sebagai pemain amatur yang bekerja sebagai kerani.

Selepas dilobi oleh Hasheem, Salim mendapat peluang untuk menjalani trial bersama Celtic.

Tetapi sebelum diuji, Salim diminta oleh pengurus Celtic, Willie Maley untuk menunjukkan skil dan kemahirannya di depannya, pemain, 3 jurulatih berdaftar dan hampir 1,000 penyokong Celtic.

Salim berjaya. Beliau memukau Maley dan staf jurulatihnya dengan hanya berkaki ayam.

(Sumber: theshamrockglasgow.wordpress.com)
(Sumber: theshamrockglasgow.wordpress.com)

Dipuji wartawan Scotland

Perlawanan pertama Salim dalam jersi Celtic adalah perlawanan pra-musim menentang Hamilton. Celtic menang 5-1. Salim pula menjaringkan 1 gol hasil penalti.

Dalam perlawanan kedua, Salim membantu Celtic membelasah Galston 7-1. Akhbar The Scottish Daily Express dan Glasgow Observer tidak putus-putus memuji persembahan Salim yang melakukan 3 assists dan terlibat dalam gerakan 7 gol Celtic.

Mula rindukan kampung

Hanya selepas 2 perlawanan di Celtic Park, Salim sudah mula rindukan keluarganya di India.

Celtic cuba memujuk Salim untuk kekal dan menyertai skuad mereka dengan duit; melalui penganjuran perlawanan amal.

Salim akan memperolehi 5% pendapatan jualan tiket perlawanan tersebut- atau £1,800 (kini bernilai £30,700 jika dikira inflasi).

Tetapi Salim menolak. Malah beliau mengarahkan wang tersebut diberi kepada anak-anak yatim di Glasgow yang datang menyaksikan perlawanan amal tersebut.

(Sumber: www.redbull.com)
(Sumber: www.redbull.com)

Sengaja dilupakan India kerana agama

Kecuali keluarganya, tiada siapa yang mengingati nama Mohammed Salim sebagai lagenda bola sepak India sehinggalah A Social History Of Indian Football: Striving To Score, sebuah buku tulisan 2 wartawan sukan India diterbitkan pada 2006.

Dalam buku ini, legasi Salim kembali dihidupkan. Rakyat India mula mengenali siapa Salim.

Hal ini ada kena mengena dengan sumbangan Salim terhadap kelab bola sepak Muslim, Mohammedan SC dan konflik Islam-Hindu yang masih menular di India selepas kemerdekaan mereka.

Sejarah Salim diabaikan sehingga anak beliau sendiri terpaksa meminta bantuan daripada Celtic untuk mengingati legasi bola sepak bapanya.

“Saya menulis surat kepada Celtic FC untuk meminta bantuan kewangan bagi merawat bapa saya di hospital. Saya terkejut bila mereka betul-betul membalas surat saya. Dalamnya ada draf bank sebanyak £100.”

“Tujuan saya menulis surat tersebut bukanlah untuk meminta duit. Tapi untuk tahu sama adala Celtic masih ingatkan bapa saya lagi atau tak. Rupa-rupanya mereka masih ingat lagi!”

Bagi Salim, biarlah India melupakan beliau. Asalkan beliau masih mengingati Celtic dan Celtic masih mengingati beliau.

Baca juga: Dari Kriket dan Hoki: Bagaimana India Mempopularkan Bola Sepak Dengan Bintang Bollywood