Hanya Mereka Yang Hidup Dalam Penafian Enggan Mengaku Salah Kini Pemain Terbaik Dunia

Hanya mereka yang hidup dalam penafian akan menafikan Mohamed Salah selayaknya bergelar pemain terbaik dunia pada hari ini.

Pada awal pagi tadi Mohamed Salah menjaringkan dua gol untuk membantu Liverpool menewaskan Atletico Madrid 3-2 dalam perlawanan yang penuh debaran dan drama.

Ia termasuklah dua gol jaringan Antoine Griezmann yang berjaya menyamakan kedudukan buat Atletico selepas tuan rumah ketinggalan dengan dua gol awal pasukan lawan.

Griezmann kemudiannya dilayangkan kad merah pada babak kedua perlawanan atas kekasaran terhadap Roberto Firmino. Drama VAR turut tidak ketinggalan mengecewakan pasukan dari Sepanyol itu untuk dinafikan sepakan penalti pada babak akhir perlawanan.

Perlawanan peringkat kumpulan ini berlangsung seolah-olah ia adalah saingan kalah mati. Liverpool tidak membuang banyak masa berada di hadapan dengan dua gol awal.

Salah membuka tirai jaringan selepas gerakan individu menarik menggelecek beberapa pemain lawan, diikuti oleh percubaan yang terbias daripada Jan Oblak untuk menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan berturut-turut.

Kemudian tiba giliran Naby Keita menghasilkan voli cantik selepas lawan gagal mengeluarkan bola sepenuhnya dari kawasan bahaya.

Beraksi di tempat sendiri Atletico bangkit melawan dengan baik sekali. Griezmann membuktikan mengapa dirinya harus berada di dalam kesebelasan utama berbanding Luis Suarez yang dimasukkan kemudian dari bangku pemain simpanan.

Griezmann turut menjaringkan dua gol pantas, pertama melalui tandukan dari jarak dekat yang berpunca dari sepakan percuma pada minit ke-20 perlawanan, dan jaringan kedua hasil gerakan mudah ke dalam kotak penalti yang disudahkan dengan percuban rendah kaki kiri.

Gol penyamaan tersebut mencetuskan keraian penuh emosi dari Diego Simeone, dan keadaan boleh menjadi semakin teruk buat Liverpool jika tidak kerana ketangkasan Alisson menangkis tiga percubaan bahaya dari Griezmann, Joao Feix dan Thomas Lemar.

Kad merah Griezmann pada minit ke-52 bagaimanapun mengubah arus perlawanan, dan Atletico kemudiannya bertahan dengan 10 pemain.

Salah berjaya memberikan pendahulan kembali kepada Liverpool selepas Diego Jota dikasari oleh Mario Hermoso di dalam kotak penalti.

Penyokong Atletico pasti rasa keadilan tidak menjadi milik mereka dalam perlawanan ini apabila pengadil. Daniel Siebert membatalkan sepakan penalti yang telah diberikan selepas melakukan semakan VAR.

Simeone terus meluru ke bilik persalinan sebaik sahaja wisel penamat ditiup. Liverpool mungkin menang kerana penalti. Liverpool mungkin menang kerana VAR. Tetapi anda hanya hidup dalam penafian sekiranya enggan mengakui Mohamed Salah adalah pemain terbaik dunia.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply