Mohamadou Sumareh: Cabaran Si Penggelecek Selipar Untuk Menjadi Pemain Bola Sepak Profesional

Mohamadou Sumareh bakal bermain di hadapan khalayak penyokong terbesar dalam sejarah karier antarabangsa beliau pada pada malam 1 Disember 2018. Lebih 80,000 penonton akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 – Malaysia vs Thailand.

Mohamadou Sumareh bukanlah pemain yang lahir daripada sistem akademi bola sepak yang sistematik. Namun beliau adalah baka bola sepak yang lahir daripada ‘rumah’. Kesungguhan, keberanian dan kezamannya ditambah dengan bakat semulajadi.

Ibu bapa Sumareh tak restu

Sumareh memberitahu sejak dari kecil beliau bertekad mahu menjadi pemain bola sepak profesional. Malangnya kedua-dua ibu bapanya tidak merestui cita-cita beliau. Mereka mahu Sumareh fokus kepada pelajaran berbanding bola sepak kerana risau sukan itu tak akan membantu mengubah nasib mereka.

Namun begitu, Sumareh membulatkan tekad beliau untuk menjadi pemain profesional dan berusaha bersungguh-sungguh sejak dari kecil. Beliau bercakap kepada media rasmi AFF Suzuki 2018: “Ibu bapa saya tak suka saya bermain bola sepak. Mereka sangat tegas dalam mengawal saya ketika kecil agar saya fokus kepada pelajaran.”

“Oleh sebab itu mereka tak akan biarkan saya keluar [bermain]. Jadi saya terpaksa menyusun selipar di lantai rumah saya dan menggelecek mereka ‘sebagai’ pemain pertahanan. Dinding adalah rakan sepasukan saya, jadi saya akan hantar bola ke dinding dan dinding itu hantar bola balik kepada saya.”

“Pada satu hari saya menyusup keluar untuk menyertai beberapa budak lain di lorong. Mereka tak pernah melihat saya sebelum ini dan pada mulanya mereka tak mahu bermain dengan saya.”

“Namun akhirnya mereka membenarkan saya bermain dengan mereka. Dan saya menggelecek melepasi semua mereka lalu menjaringkan gol.”

“Mereka kemudian mencari di mana saya tinggal supaya senang nak ajak saya bermain dengan mereka.”

Ketika di sekolah menengah cabaran Sumareh semakin sukar. Ibu bapanya mahu dia fokus kepada kelas tambahan berbanding dengan sukan. Mereka datang ke sekolah dan membertahu pengetua sekolah bahawa mereka tidak mahu Sumareh menyertai mana-mana sukan.

“Cikgu sukan saya tidak mahu mengambil saya dalam pasukan bola sepak kerana memberitahu diarahkan pengetua untuk tidak membawa saya. Itu selepas ibu bapa saya memintanya.”

“Saya bosan dan kemudian menggelecek semua orang di sana dan menjaringkan gol. Ketika itu guru sukan saya memberitahu pengetua bahawa sekolah sangat memerlukan pemain seperti saya.”

Ketika memasuki alam Universiti, Sumareh tidak menoleh ke belakang lagi. Beliau kini lebih bebas untuk bermain bola sepak. Beliau menyertai beberapa sesi pemilihan pemain. Beliau tahu, jika mahu menjadi pemain profesional, ianya harus ‘bermula sekarang’.

Pada satu hari rakannya telah membantu beliau untuk menyertai pemilihan pemain di Malaysia. Sumareh tidak berlengah dan bersiap dengan segala kelengkapan beliau pada tengah malam.

Sumareh meninggalkan rumahnya. Beliau tahu, tiada jaminan untuknya mendapatkan kontrak profesional di Malaysia – namun beliau mahu mencuba.

“Saya melarikan diri dari rumah pada tengah malam ketika ibu bapa saya sedang tidur. Saya pergi ke rumah kawan saya yang membantu saya untuk pergi ke Malaysia bagi menyertai beberapa sesi pemilihan pemain.”

Risiko yang beliau ambil membuahkan hasil. Beliau menyertai PDRM. Ketika di PDRM nama Sumareh mulai menjadi perhatian. Beliau membantu PDRM menjuarai Liga Premier.

Sumareh kemudiannya menyertai Perlis. Selepas itu pada 2017, Sumareh menyertai skuad bimbingan Dollah Salleh di Pahang. Salah sebuah pasukan utama dalam Liga Malaysia. Beliau membantuk Pahang menamatkan saingan 2017 di tangga ke-2 Liga Super dan Naib Juara Piala FA.

Pada 2018, karier Sumareh berada di kemuncak dengan membantu Pahang menjuarai Piala FA 2018 menewaskan Selangor.

Mohamadou Sumareh dipilih sebagai pemain terbaik untuk malam final Piala FA 2018. Beliau dianggap antara pemain paling menyerlah sepanjang musim domestik 2018.

Mohamadou Sumareh / Kredit foto: Berita Harian

Lebih manis lagi apabila pemain yang diberikan gelaran The Keliboy ini ditawarkan tempat dalam skuad kebangsaan Malaysia. Beliau memiliki kerakyatan Malaysia selepas bermastautin lama di negara ini. Sumareh berkongsi rasa gembiranya mewakili Malaysia.

“Saya ketika itu baru merancang untuk bercuti [pada rehat pra musim] di luar negara. Tiba-tiba ‘coach’ Tan Cheng Hoe telefon saya. Beliau memaklumkan saya tersenarai dalam skuad kebangsaan.”

“Sebelum itu saya dengar daripada rakan-rakan saya, dan saya anggap mereka bergurau. Namun selepas itu saya sangat berterima kasih kepada beliau [coach]. Saya sangat gembira untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini.”

Sumareh melakukan debut menentang Sri Lanka dalam perlawanan persahabatan dan beliau menjaringkan gol antarabangsa pertama beliau untuk Malaysia dalam perlawanan itu.

“Saya masuk pada separuh masa kedua dengan tekanan tinggi, namun saya cabar diri saya. Saya nak buktikan kepada orang ramai bahawa saya berhak mendapat tempat. Saya memberikan segalanya, dan saya bernasib baik kerana menjaringkan gol.”

“Dan pada ketika itu, ianya satu perasaan kegembiraan yang saya tak mampu gambarkan.”

Mohamadou Sumareh cepat menjadi kesayangan peminat Harimau Malaya kerana komitmen beliau. Beliau menjadi pemain naturalisasi pertama Malaysia. Mohamadou Sumareh menunjukkan keazaman dan sayangnya kepada negara Malaysia dengan aksi di padang.

Beliau juga menitiskan air mata ketika Malaysia tewas di tangan Vietnam pada saingan peringkat kumpulan.

Selamat maju jaya kepada Mohamadou Sumareh. Semoga karier anda terus cemerlang.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN