Mkhitaryan Penyelamat Arsenal Daripada Kalah Di Tangan Wolves

Kerjasama Semuanya BOLA

Arsenal sekali lagi harus membayar ‘kos’ yang tinggi selepas permulaan yang perlahan di atas padang. Sudah beberapa kali musim ini mereka terpaksa mengerah banyak keringat untuk bangkit daripada ketinggalan. Sekali lagi pemain simpanan berjaya mengubah nasib Arsenal.

Wolves mendahului menerusi jaringan Ivan Cavaleiro pada minit ke-13. Satu jaringan yang dilakukan dari jarak dekat. Gol tersebut berpunca daripada kesilapan Granit Xhaka.

Ini adalah kali ke-5 Granit Xhaka melakukan kesilapan defensif yang mencetuskan gol lawan sejak menyertai Arsenal pada 2016. Dalam tempoh tersebut – tiada pemain ‘outfield’ yang lebih banyak daripada Xhaka melakukan kesilapan defensif yang terus dihukum oleh lawan.

Arsenal menguasai perlawanan ini – mereka sangat dominan. Namun mereka berhadapan dengan kesukaran untuk memecahkan benteng pertahanan Wolves yang kompak.

Sepanjang perlawanan Arsenal hanya melakukan 10 percubaan gol berbanding 13 oleh Wolves. Arsenal mendominasi perlawanan ini dengan 72% penguasaan bola.

Aubameyang melakukan ‘big miss’ ketika menerima hantaran Bellerin. Satu usaha yang sangat baik daripada Torreira yang melorongkan bola kepada Bellerin untuk dihantar ke kawasan bahaya.

Mkhitaryan penyelamat

Henrik Mkhitaryan masuk pada minit ke-76 menggantikan Mesut Ozil. Beliau berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-86.

Mkhitaryan cuba melakukan hantaran lintang lencong yang mengelirukan semua pemain.

Namun begitu Wolves hampir menghampakan Arsenal dengan percubaan pemain gantian berusia 18 tahun – Morgan Gibbs-White.

Morgan melakukan percubaan yang terkena palang. Arsenal juga pastinya berterima kasih kepada Bernd Leno yang beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan bahaya oleh Wolves terutama sekali percubaan Diogo Jota.

Keputusan seri ini membuatkan Arsenal berada di tangga ke-5 – dipisahkan 3 mata daripada Spurs di tangga ke-4. Manakala Wolves kekal di tangga ke-11.

Walaupun keciciran mata sekali lagi, Arsenal meneruskan rekod tanpa kalah kepada 16 perlawanan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram