Mitos ‘Fergie Time’ Dan Asal Usulnya 27 Tahun Yang Lalu

Menyaksikan perlawanan bola sepak pada jam 4 am adalah antara pengorbanan yang perlu dilalui oleh peminat bola sepak Inggeris di Malaysia

Tidak ketinggalan, ialah penyokong bola sepak Manchester United yang terpaksa bersengkang mata, demi menyaksikan perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers pada awal pagi semalam.

Perlawanan tersebut hampir berakhir dengan kekecewaan buat penyokong Man United yang mengharapkan kemenangan. Namun selepas perlawanan mulai memasuki masa kecederaan, kedudukan masih lagi terikat 0-0.

Sudahlah perlu bersengkang mata, menyaksikan perlawanan di mana pasukan kesayangan gagal menjaringkan gol pasti sesuatu yang menyedihkan, juga memberi rasa pedih ibarat luka yang disimbah cuka.

Kemudian minit ke-4 masa kecederaan, rembatan deras kaki kiri Marcus Rashford yang terbias pemain pertahanan lawan, menewaskan Rui Patricio sekaligus memberikan gol kemenangan buat Manchester United.

Sekaligus setiap penyokong The Red Devils merasa puas menyaksikan perlawanan walaupun telah berjaga malam. Pengorbanan itu ibarat satu kepuasan bagi mereka.

Bagi penyokong sejak sekian lama, gol Marcus Rashford itu turut mengingatkan mereka gol-gol minit akhir yang sering dijaringkan oleh United pada era pengurus legenda, Sir Alex Ferguson.

Sehinggalah pada satu masa 27 tahun yang lalu, muncullah terma ‘Fergie Time’

Fergie Time

Peminat bola sepak Inggeris pasti pernah mendengar terma ‘Fergie Time’. Terma ini sinonim dengan era kegemilangan Sir Alex Ferguson bersama Manchester United.

Fergie time adalah idea oleh penyokong bola sepak Inggeris dimana sedikit masa tambahan diberikan untuk membantuk skuad Ferguson di saat genting,

Adakah ia benar-benar wujud?

Di manakah ‘Fergie Time’?

Minit terakhir perlawanan dalam bola sepak boleh menjadi satu tempoh yang menegangkan. Ia mungkin berakhir dengan cara yang tidak kita ingini, atau sebaliknya memberi keputusan melegakan.

Segelintir (kebanyakkannya bukan penyokong Manchester United) mengandaikan skuad kendalian Sir Alex sering mendapat keistimewaan tambahan masa untuk menjaringkan gol penting berkenaan jika keputusan tidak memihak kepada mereka.

Maka definsi ‘Fergie Time’ yang sebenarnya adalah berasal daripada idea para penyokong yang tidak berpuas hati dengan jaringan minit akhir oleh skuad kendalian Sir Alex ketika memonopoli bola sepak Inggeris satu masa dahulu.

Sejarah Lahirnya ‘Fergie Time’ 

Sir Alex Ferguson mulai mengendalikan Manchester United pada November 1986. Namun terma ‘Fergie Time’ hanya wujud selepas 10 April 1993.

Sebelum saingan musim 1992/1993, Manchester United tidak pernah bergelar juara Liga Inggeris selama 26 tahun. Mujurlah tiada wabak seperti coronavirus pada ketika itu. Jika tidak mungkin lebih lama menunggu.

Ketika musim 1992/1993 menghampiri penghujung, tiga pasukan berpeluang untuk menjadi juara pertama Liga Perdana Inggeris – musim pertama sejak rebranding setelah mendapat suntikan lumayan hasil hak penyiaran daripada British Sky Broadcasting dan BBC.

Manchester United bersaing dengan Aston Villa yang dikendalikan oleh bekas pengurus United, Ron Atkinson.

Norwich City turut tampil sebagai pesaing untuk berada di puncak saingan liga yang memiliki 22 pasukan bertanding pada musim tersebut.

Dalam perlawanan menentang Sheffield Wednesday di Old Trafford, perlawanan diberikan 6 minit masa tambahan.

Perlawanan kerap diberhentikan kerana insiden-insiden ketika perlawanan termasuklah kecederaan yang menimpa pengadil perlawanan, Michael Peck.

Kecederaan Michael Peck menyebabkan tugas beliau diambil alih oleh penjaga garisan, John Hilditch.

Manchester United VS Sheffield Wednesday (10 April, 1993) 

Manchester United memulakan perlawanan sebagai pasukan di tangga kedua liga. Keyakinan untuk muncul juara pada ketika itu amat tinggi di kalangan penyokong United pada masa itu setelah ‘The Red Devils’ menewaskan Norwich 3-1 dalam saingan minggu sebelumnya.

Tetapi percaturan Sir Alex Ferguson nyata serba tidak kena dalam perlawanan tersebut. Ketinggalan 0-1 ketika perlawanan berbaki empat minit untuk tamat, kedudukan tersebut bakal memberi laluan mudah untuk Aston Villa mengukuhkan cengkaman di puncak liga jika keputusan tersebut kekal.

Bagaimanapun, dua tandukan Steve Bruce selepas itu memberi kisah yang berbeza. Gol pertama oleh Bruce hadir melalui tandukan kencang pada minit ke-86 perlawanan

Gol kedua yang menyusul turut dihasilkan melalui tandukan kencang pada masa kecederaan- mencetuskan idea panggilan ‘Fergie Time’.

Gol kemenangan Steve Bruce dalam perlawanan tersebut mencetuskan fenomena keraian yang tidak pernah disaksikan di Old Trafford sejak zaman Busby Babes, Dennis Law mahupun pada era Sir Bobby Charlton.

J‘Fergie Time’ secara rasminya terjelma melalui perlawanan menentang Sheffield Wednesday pada 10 April 1993 di Old Trafford.

Kejuaraan Liga Perdana Inggeris Pertama Era Sir Alex Ferguson

Pengurus Sheffield Wednesday, Trevor Francis turut mengeluh akan tempoh masa tambahan yang diberikan dalam perlawanan tersebut ketika disoal wartawan selepas perlawanan.

Bagaimanapun, Sir Alex menegaskan masa tambahan yang diberikan sepatutnya adalah 12 minit dan bukan 6 minit seperti yang diperuntukkan oleh pengadil dalam perlawanan tersebut.

Kemenangan ke atas Sheffield Wednesday tidak mengesahkan United terus sebagai juara liga pada musim tersebut.

Bagaimanapun, ia membantu Manchester United membina rentak konsisten untuk memenangi baki 5 perlawanan selepas itu untuk menamatkan musim 19921-1993 di kedudukan dengan kelebihan 10 mata berbanding saingan terdekat, Aston Villa.

Penutup

Kita semua tahu apa yang berlaku pada musim-musim berikutnya. Sir Alex Ferguson dan Manchester United mendominasi 13 kejuaraan Liga Perdana Inggeris sehingga Sir Alex bersara pada musim 2012/2013.

Gol-gol jaringan saat ‘Fergie Time’ turut terus mendominasi baki karier hebat pengurus berbangsa Scotland tersebut bersama Manchester United.

Maka genap 27 tahun yang lalu pada hari ini, lahirlah terma ‘Fergie Time’ yang turut membuka laluan untuk Manchester United muncul juara Premier League pada musim 1992/93.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply