Misteri Kehilangan Luqman Hakim Daripada Kem Latihan Pusat Skuad B-19 Terjawab

Kerjasama Semuanya BOLA

Luqman-Hakim-latihan-pusat

Menjadi perdebatan hangat mengenai kehilangan beberapa nama besar termasuk Luqman Hakim Shamsudin dalam senarai 35 pemain ke Latihan Pusat skuad B-19.

Skuad muda negara dalam persediaan untuk menyertai Kejohanan AFC B-19 yang dijangka akan berlangsung pada Oktober depan dan ini merupakan latihan pusat pertama mereka selepas kerajaan membenarkan sesi latihan bola sepak bermula.

Mana nama Luqman Hakim?

Di saat pemain tersebut menjadi bualan kerana cenderung memilih untuk kekal di Malaysia supaya dapat beraksi bersama skuad B-19, namanya pula tiada dalam panggilan ke latihan pusat yang diumumkan oleh pengendali, Brad Maloney.

Brad Maloney menerusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan senarai 35 pemain yang bakal menjalani latihan pusat skuad tersebut bermula pada 6 Julai ini, selama tiga minggu dan akan dijalankan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Bukan hanya Luqman Hakim yang tersisih, beberapa nama besar turut didapati ‘hilang’ daripada latihan pusat itu antaranya Mukhairi Ajmal, Ahmad Zikri Khalili serta penjaga gol, Firdaus Irman dan Sikh Izhan Nazrel, semua merupakan pemain Selangor 2.

Menurut laporan Goal, dimaklumkan yang pemain-pemain tersebut telah diminta oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk dikecualikan daripada sesi latihan kali ini atas faktor mahu memberikan masa kepada mereka untuk beraksi di liga dahulu.

Selangor yang minta pelepasan

“Tidak mengapalah. Selangor telah memaklumkan kepada pihak kami yang mereka memerlukan pemain-pemain tersebut dalam sesi latihan sebelum liga kembali berlangsung. Mereka merancang untuk beri pemain-pemain itu minit perlawanan.

“Kita akan ada lagi latihan pusat sebegini sebelum kejohanan berlangsung dan kita akan pastikan ketika itu, pemain-pemain ini akan ada bersama kita,” jelas Brad Maloney yang telah dihubungi oleh Goal berhubung isu pemilihan pemain pada kali ini.

Liga Malaysia dijangkakan akan kembali berlangsung selewat-lewatnya September depan dan Selangor 2 mahu memastikan sendiri pemain-pemain mereka melalui fasa latihan pertama bersama pasukan dan bukannya sesi latihan bersama skuad negara.

Namun, setakat ini masih tiada berita pemain daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menarik diri daripada kem latihan pusat tersebut. Bard Maloney telah memanggil tujuh pemain muda JDT antaranya pemain sensasi, Arif Aiman dan Umar Hakeem.

Peluang pemain lain tonjol kemampuan

Selain itu, ini juga peluang buat pengendali asal Australia itu untuk menguji beberapa pemain yang menarik perhatiannya ketika menganalisis aksi-aksi sebelum ini di saingan Piala Presiden ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempohari.

Tiga minggu dilihat adalah masa yang cukup buat pemain-pemain itu termasuklah dua pemain daripada luar negara, Wan Kuzri Wan Kama dan Adam Nadzmi Zamri untuk memikat Brad Maloney supaya terpilih antara 23 pemain akhir nanti.

Wan Kuzri merupakan pemain di St Louis Football Academy, Amerika Syarikat dan Adam Nadzmi pula adalah pemain daripada BISP Cruzeiro Football Academy, Phuket. Turut mencuri tumpuan adalah pemilihan pemain PJ City, Zachry Raiff Ghazie.

“Paling penting adalah bola sepak akan kembali dan para pemain perlu mendapatkan semula kecergasan mereka terutama sekali pemain daripada Piala Belia dan Piala Presiden yang kini tidak berlatih [kerana saingan liga dibatalkan],” ujar Brad Maloney.

Penutup

Dengan penjelasan Brad Maloney itu, maka terjawablah mengapa Luqman Hakim disisihkan daripada latihan pusat kali ini. Mungkin Selangor 2 ada kaedah yang lebih baik untuk mengembalikan kecergasan mereka dan memerlukan kudrat mereka.

Bagaimana para pembaca melihat kepada senarai pemain yang telah dipilih? Ada beberapa nama yang menarik perhatian dan mungkin kem latihan tiga minggu ini bakal menyaksikan bakat mereka dapat dilihat lebih dekat oleh barisan kejurulatihan.

KREDIT FEATURED IMAGE: YAKULT MALAYSIA

Baca lagi artikel lain mengenai Luqman Hakim:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply