Misi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 Bermula, Indonesia Cabaran Pertama Skuad Negara

Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018

Saingan skuad B-22 tahun kebangsaan dalam Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang berlangsung di Bangkok membuka tirainya petang ini.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu berdepan ranjau berliku apabila diundi bersama-sama tuan rumah, Thailand, Indonesia dan Mongolia.

Cabaran pertama yang dihadapi adalah bertemu Indonesia pada jam 5.00 petang ini di Stadium Nasional Supachalasai. 

Selepas dilanda masalah beberapa persatuan negeri yang tidak melepaskan pemain mereka bagi menghadapi cabaran ini, Datuk Ong Kim Swee terus dirundung malang apabila terpaksa menggugurkan pemain utama iaitu Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak) dan Farhan Roslan akibat masalah kecederaan.

Tidak cukup dengan itu, kecederaan saat akhir pemain muda Sarawak, Tommy Mawat memaksa pengendali berasal dari Melaka itu hanya menyenaraikan 22 orang pemain walaupun setiap pasukan boleh mendaftarkan maksimum 23 orang pemain.

Pemain yang terpilih mampu galas tugas

Walaupun dibelenggu permasalahan yang timbul sebelum ini, pemain yang dipilih membawa cabaran negara dilihat mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan baik.

Ketangkasan penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim juga ditagih khidmatnya selepas mempamerkan prestasi membanggakan ketika bersama Kedah. Beliau merupakan penjaga gol utama buat pasukan Kedah musim ini.

Kelibat pemain seperti Danial Ashraf Abdullah yang berjaya menyumbat satu jaringan ketika perlawanan persahabatan menentang Myanmar B-22 tempohari juga mampu untuk menghadirkan ancaman terhadap pasukan lawan.

Pemain lain yang dipilih juga sudah pasti memasang azam dan keyakinan yang tinggi untuk melakukan kejutan keatas lawan yang dilihat lebih bersedia untuk Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 ini.

Usah gentar dengan Indonesia

Diberitakan skuad Indonesia sudah 11 hari berada di Thailand dan persiapan yang dilakukan mereka sejak bulan Februari yang lalu.

Tambahan pula dengan faktor ketua jurulatih, Luis Milla Aspas yang merupakan bekas pemain Barcelona dan Real Madrid ternyata memberikan kelebihan diatas kertas buat negara garuda tersebut.

Namun perkara ini tidak wajar dijadikan alasan buat skuad negara untuk tidak bertempur sehabis daya dan mempamerkan aksi terpuji demi memperoleh kemenangan pertama yang diharapkan.

Ayuh skuad negara, selamat maju jaya !

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram