Minggu Yang Mengejutkan, Real, Barca, PSG, Bayern & Ajax Semua Kalah

Bayern Munich

Untuk melihat kelab-kelab besar tewas mungkin bukan perkara yang mengejutkan dalam bola sepak, tetapi apabila lima pasukan gergasi dari empat liga berbeza semuanya tewas pada minggu yang sama, ianya agak pelik bukan?

Real Madrid, Barcelona, Bayern Munich, Paris Saint-Germain (PSG) dan Ajax semuanya tewas kepada lawan masing-masing dan menamatkan rekod tanpa kalah mereka pada musim ini.

Tidak terkecuali, pasukan yang sedang bergelut Barcelona juga tewas kepada juara bertahan Atletico Madrid dalam aksi La Liga yang berlangsung di Nou Camp yang terus memberikan tekanan kepada Ronald Koeman.

Lebih perit lagi, pemain yang menjaringkan gol adalah bekas pemain mereka iaitu Luis Suarez yang pernah ‘dihalau’ oleh jurulatih dari Belanda itu kira-kira setahun yang lalu.

Pasukan itu juga tewas 3-0 kepada Benfica dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tempoh hari, namun Koeman difahamkan masih mendapat sokongan dari presiden kelab Juan Laporta yang mahu beliau membina kembali Barcelona selepas ketiadaan Lionel Messi.

Pendahulu Bundesliga, Bayern Munich pula dikejutkan oleh Eintracht Frankfurt dan ia merupakan kekalahan pertama di tempat sendiri oleh pasukan lawannya itu sejak November 2000.

Ia turut menamatkan rekod 30 perlawanan tanpat tewas. Skuad kendalian Julian Nagelsmann itu bagaimanapun masih kekal di tangga teratas dengan perbezaan mata.

Sementara itu dalam saingan Eredivisie pula, Ajax turut tewas buat kali pertama untuk kempen musim ini selepas dikejutkan dengan kekalahan tipis 1-0 kepada Utrecht hasil jaringan Django Warmerdam pada penghujung perlawanan.

Meskipun mendominasi perlawanan dengan statistik yang jauh lebih baik (69 peratus penguasaan bola), namun semua 20 percubaan ke arah gol mereka sepanjang 90 minit perlawanan langsung tidak memberikan sebarang hasil.

PSG yang menikmati permulaan sempurna dalam saingan Ligue 1 musim ini dengan lapan kemenangan berturut-turut juga ditimpa nasib yang sama selepas tewas 2-0 kepada Rennes.

Sekalipun skuad kendalian Mauricio Pochettino itu turun dengan penuh keyakinan selepas mempertaruhkan gandingan Messi, Neymar dan Kylian Mbappe dalam kesebelasan utama, ia tidak mampu untuk menghalang jaringan Gatetan Laborde dan Flavien Tait pada setiap separuh masa yang memberikan kekalahan pertama mereka.

Mangsa terakhir adalah Real Madrid yang tewas 2-1 kepada Espanyol, hanya lima hari selepas mereka diaibkan Sheriff Tiraspol di Santiago Bernabeu.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply